PETALING JAYA: Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini dijangka hangat kerana julung kalinya Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) akan dilaksanakan pada setiap Selasa.
Langkah yang mencontohi amalan Parlimen United Kingdom (UK) itu tentunya akan membuka peluang kepada semua ahli Parlimen termasuk 74 wakil pembangkang mengajukan sebarang soalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di UK, sesi yang dilaksanakan pada setiap Rabu itu, sering menjadi perhatian media massa kerana ia menjadi platform dan perdebatan hangat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.
Bercakap kepada Nexbyte, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, antara agenda bakal dibangkitkan blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) dalam sesi itu kelak adalah isu pengurangan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pada tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Selain itu katanya, soal nepotisme iaitu pelantikan anak sulung Anwar, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri turut dibangkitkan dalam sesi PMQ esok.
“Malah isu prestasi kerajaan perpaduan yang tidak menentu merupakan antara topik utama yang bakal memanaskan sesi perdebatan sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15.
“Ini akan cuba dilakukan kita sebagai wakil rakyat pembangkang sebagai semak dan seimbang untuk memberi teguran dan pandangan berguna kepada kerajaan demi kebaikan negara,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini didahului dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum sesi perbahasan Titah Diraja selama lima hari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, meskipun terdapat banyak perkara yang bakal dikemukakan sepanjang sidang Dewan Rakyat kelak, namun aspek kebajikan tetap menjadi keutamaan khususnya berkenaan langkah sewajarnya yang perlu digembleng mereka bersama kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
Kata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu, semua ahli Parlimen perlu mengetepikan agenda politik masing-masing untuk bersama-sama membantu serta menyokong kepimpinan Perdana Menteri bagi membawa Malaysia kembali ke landasan yang sebenar.
“Jika semua ahli Parlimen bersama-sama bermuafakat, ia boleh mencetuskan suasana kestabilan politik yang amat baik kerana ia menjadi asas penting kepada pembangunan negara kerana tanpanya para pelabur dilihat kurang keyakinan untuk bertapak di Malaysia,” katanya. – HABIS






