KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengumumkan hak mendapatkan bayaran tunai petroleum mesti berada dalam perairan tiga batu nautika dan penyaluran adalah di atas nama wang ehsan.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, kenyataan itu bercanggah dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 5 November 2015 yang telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).
Menurutnya, penolakan itu selepas mendapati kerajaan persekutuan mengambil peluang dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika sekaligus menafikan hak negeri ini menerima bayaran tunai petroleum.
“Perjanjian Kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Kelantan.
“Minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa “…Memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu memberitahu, pihaknya menggesa kerajaan persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada kerajaan Kelantan demi kepentingan rakyat.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum.
“Sudah enam siri rundingan yang telah diadakan antara saya dengan Perdana Menteri bermula 2013 hingga 2021.
“Sebelum itu, pada masa sama satu pertemuan turut diadakan bersama Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Petronas pada 10 Julai 2020,” ujarnya.
Nexbyte sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan belum ‘mematikan’ enjin perjuangan dalam menuntut royalti petroleum bagi memastikan hak negeri ini dikembalikan sebagaimana perjanjian yang telah dimeterai pada tahun 1970-an.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu selari dengan pesanan bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu tuntutan tersebut diteruskan.
Terdahulu, Azalina mengumumkan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.
Katanya, ia berikutan kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.
Ujarnya, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut.-UTUSAN






