KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seharusnya diadakan lebih awal bagi menjamin kestabilan politik dan mengelakkan fitnah terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Itu pendirian sebahagian besar pemimpin politik yang mahu proses demokrasi tersebut disegerakan kerana dilihat sebagai jalan terbaik walaupun penggal kerajaan sekarang masih berbaki kira-kira tiga tahun.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mandat perlu diserahkan kepada rakyat untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil dan pada masa sama menolak fitnah berterusan yang mengaitkan kerajaan PN sebagai kerajaan pintu belakang.
“Mandat rakyat itu perlu kerana majoriti kita di Parlimen sedikit dan perlu diadakan pilihan raya segera.
“Kita perlukan kerajaan yang kukuh dan sokongan wakil rakyat dalam jumlah yang ramai, terpulang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang tarikh pilihan raya,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, semalam.
Menurut Abdul Hadi, sekiranya PRU-15 tidak diadakan tahun ini, ia mungkin dibuat awal tahun depan.
Beliau yakin PN dan Muafakat Nasional (MN) mampu meraih kemenangan berdasarkan prestasi pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini yang menyaksikan peningkatan undi terhadap gabungan itu
“Kerjasama kami juga baik sehingga Pakatan Harapan (PH) tidak berani meletakkan calon mereka secara terbuka, sebaliknya menggunakan calon Bebas,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada ceramah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Pekan Lama Sungkai, Perak, malam semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi berkata, PN tiada pilihan selain segera mendapat mandat baharu rakyat menerusi pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh.
Katanya, ia bagi mengelak tuduhan berterusan terhadap PN sebagai kerajaan pintu belakang dan tebuk atap oleh pembangkang kerana mendapat sokongan hanya 113 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Pendirian sama turut dinyatakan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan PRU-15 wajar diadakan pada masa terdekat walaupun masih mempunyai tempoh tiga tahun lagi supaya rakyat berpeluang membetulkan segala kepincangan PH sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Hatta jika perlu, boleh diadakan tahun ini juga supaya rakyat berpeluang membetulkan segala kepincangan PH sejak PRU-14 yang merupakan igauan buruk buat rakyat Malaysia,” ciapnya di laman Twitter malam semalam.
Sementara itu, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mengadakan pilihan raya umum adalah perkara yang sudah menjadi pendirian BN sejak dahulu.
“BN dari dahulu lagi berpendapat pilihan raya umum adalah langkah terbaik sebab dalam sistem ‘parliamentary democracy Westminster’, kalau tak ada majoriti yang selesa maka langkah yang menjadi konvensyen ialah untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
“Dengan harapan kita ada kerajaan yang stabil dan boleh mentadbir tanpa ada apa-apa tuduhan atau tohmahan kerajaan pintu belakang dan sebagainya.
“Itulah pendirian BN selama ini untuk kita dapatkan mandat baharu daripada rakyat kerana ini hak rakyat. Kita hendak kembalikan hak kepada rakyat, biar rakyat yang memilih, inilah yang sebaik-baiknya,” katanya selepas ceramah PRK DUN Slim semalam.
Bagi Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal pula, sayap itu menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencapai keputusan bersama rakan-rakan sekutu.
“Namun sebagai Ketua Armada, saya yakin Armada dan Bersatu umumnya bersedia untuk berentap jika pilihan raya umum dipanggil dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN






