KUALA LUMPUR – Pelakon senior, Liza Abdullah, 56, tidak terkejut dengan dakwaan berlakunya skandal seks kalangan artis malah mendakwa ia sudah lama berlaku.
Bagaimanapun katanya, bukan kalangan artis sahaja, orang awam pun ramai juga terlibat.
“Dulu dah wujud pun perkara begini cuma tidak mendapat pendedahan meluas sebab kita cuma ada media arus perdana, tak seperti zaman sekarang apabila media sosial banyak mengambil alih peranan itu,” katanya kepada Nexbyte.
Beliau mengulas dakwaan penglibatan artis dan Instafamous dalam skandal seks yang didedahkan dalam akhbar Mingguan Malaysia kelmarin.
Liza juga menasihatkan artis supaya tidak mengambil kesempatan dengan bertopengkan perniagaan untuk menipu orang lain.
“Jangan guna cara tak baik untuk dapatkan duit dengan mudah. Kalau betul ada bakat seni, gunakan dengan sebaiknya dan jujurlah dalam menggalas tugas itu.
“Jangan guna bidang seni sebagai tiket untuk menjalankan kerja-kerja tidak baik kerana kelak akan memakan diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Aishah Ariffin, 55, menggesa semua netizen tidak mudah menghukum seseorang artis yang berpenampilan mewah atau bergaya sakan dalam media sosial.
Baginya, keadaan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan selain mengelak diri daripada melakukan lebih banyak dosa.
“Kita tidak tahu sejauh mana gigihnya seseorang artis atau Instafamous berusaha untuk sampai di satu-satu tahap.
“Kalau mereka benar-benar berjaya kerana titik peluh mereka sendiri, itu bagus dan kita tidak perlu mempertikaikannya.
“Jika ada yang terlibat dengan mana-mana scam atau skandal misalnya, biarlah pihak berkuasa yang menjalankan kerja dan siasatan,” katanya. – UTUSAN






