BUKAN isu kuantiti profesor di negara ini, tetapi kualiti mereka. Itu yang dibangkitkan tokoh pendidik Tun Dr. Arshad Ayub kepada akhbar ini Ahad lepas.
Tidak ramai profesor yang berfikir di luar kotak, kata tokoh berusia 92 tahun itu. Seingat kita pun tidak terlintas depan mata atau hinggap di telinga kini nama-nama ulung seperti Allahyarham Prof. Ungku Abdul Aziz, Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alattas, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, waima mendiang Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang berani, tanpa ragu-ragu memecah tembok universiti menyerap dan memperjuang denyut hati rakyat.
Badan disertai profesor pula tidak pasti haluan dan taringnya? Kelihatan tidak ada suatu kebangkitan baharu dalam kerangka pemikiran untuk mengkreativitikan masyarakat. Khususnya memecah kebuntuan cabaran getir kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat penangan Covid-19.
Cerdik pandai di menara gading tidak nampak memainkan peranan lagi. Lebih kepada pemikiran tinggi dihalakan ke penghasilan buku dan jurnal. Padahal, dunia media sosial mega hari ini menuntut komitmen dan kreativiti yang tinggi dalam mencorakkan piawaian pendidikan massa. Ini termasuk menyanggah ‘kebangkitan’ anak-anak muda yang sebahagian merugikan bangsa Melayu – perlukan asuhan kembali ke pangkal jalan.
Kaukus pemikiran Melayu baharu mesti wujud untuk berpolemik berterusan dengan kerajaan. Kalau tidak ke arah itu, kerajaan barangkali berasa “semuanya okey, segalanya baik”.
Nukleus ini mesti sentiasa ada dalam tangan. Mesti sampai ke tahap pemikiran intelek tinggi.
Agaknya ke mana perginya kelibat intelek Melayu yang lantang dan berani ini? Barangkali mereka sukar berbuat demikian kerana bimbang dicap anti kerajaan?
Mungkin benar disebabkan `mentaliti JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)’. Para intelek Melayu tidak harus terkongkong oleh ‘politik JPA’. Kalau anda seorang pensyarah dan profesor, tidak seharusnya dikongkong oleh JPA dengan peraturan amnya. Anda harus bebas sebagai penjana ilmu, baru anda akan keluar dengan hujahan yang kritikal.
Maka dalam kalangan pensyarah mesti gugurkan `mentaliti JPA’ ini supaya mereka lebih utamakan pemikiran bernas dan berani nyatakan sesuatu mengikut keluhuran intelek dan latar belakang akademik masing-masing.
Sistem yang diwujudkan oleh perkhidmatan awam tidak harus dikenakan kepada orang-orang seperti hakim, profesor dan pensyarah demi mewujudkan peneluran idea lebih berani dan spontan terhadap kerajaan. Mungkin ada pihak tak setuju perkara ini. Soalnya, sudah sampai masanya negara mempunyai elit pemikir penyumbang, waima mereka bercanggah pendapat dengan kerajaan pun tak kisah. Cuma, jangan diambil itu nas untuk jadikan mereka musuh negara.
Percambahan keintelektualan Melayu mesti diwujudkan sekarang. Pensyarah dan profesor harus dikecualikan dari sebahagian besar cengkaman besar ini. Ini titik topik yang mesti diapungkan dalam kerajaan hari ini. -UTUSAN






