PETALING JAYA: Kes positif Covid-19 di negara ini berisiko berlarutan meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan pandemik tersebut berakhir pada awal tahun 2022.
Pandemik tersebut boleh berterusan jika masyarakat leka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain tidak konsisten mengamalkan gaya hidup norma baharu.
Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, peraturan sedia ada di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi membendung Covid-19 sudah cukup dan tidak perlu lagi melaksanakan peraturan lebih ketat.
Menurut beliau, orang ramai hanya perlu berdisiplin seperti kekal memakai pelitup muka di khalayak ramai, mengamalkan penjarakan fizikal dan tiada melakukan aktiviti atau perhimpunan.
“Jika rakyat konsisten mengamal SOP tersebut tidak mustahil ramalan wabak Covid-19 akan berakhir tahun depan atau lebih awal,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Memetik laporan media antarabangsa baru-baru ini, WHO percaya Covid-19 bakal berakhir pada awal tahun depan.
Ahad lalu, Malaysia buat pertama kalinya menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Belgium yang dihantar menerusi Singapura sebelum dibawa dengan pesawat khas MH604 sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Susulan itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula hari ini diawalkan ke kelmarin dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin bersama-sama petugas barisan hadapan.
Senada dengan beliau, pakar perunding kanan perubatan, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, vaksin Covid-19 memainkan peranan utama bagi mencapai unjuran berkenaan.
“Jangan prejudis atau percaya maklumat tidak sahih berkenaan pengambilan vaksin. Kita perlu terus memahamkan dan menyedarkan masyarakat untuk mengambil vaksin. Semakin luas penggunaannya, semakin cepatlah kita merawat krisis kesihatan ini,” katanya.
Pakar perubatan kesihatan awam dari Jabatan Perubatan Tentera Hospital Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Mohd. Arshil Moideen pula berkata: “Proses vaksinasi mengambil masa untuk mencapai peratusan yang memuaskan bagi kumpulan sasaran. Selagi ini belum di capai, jika kita leka, keadaan boleh berubah menjadi lebih teruk dalam masa terdekat,” – UTUSAN






