PETALING JAYA: Pas menyifatkan pengagihan kerusi parti itu dengan rakan strategik lain perlu dibuat secara adil dan memuaskan hati semua pihak jika mahu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Nexbyte, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berpendapat, pengagihan kerusi perlu dilakukan sedemikian supaya kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus kukuh.
Bagaimanapun menerusi kerjasama tersebut, beliau yakin perbincangan berkenaan dengan pengagihan kerusi dapat dijalankan dengan lancar.
“Kerjasama dengan MN dan PN perlu diteruskan dan Pas perlu bersama sehingga ke peringkat pengagihan kerusi. Sebelum ini Pas bertanding 120 kerusi, namun kali ini dengan kerjasama politik baharu, kunci kemenangan PRU-15 adalah memastikan supaya pengagihan kerusi dapat diselesaikan dengan baik.
“Perbincangan masih di peringkat awal, tetapi apa yang paling penting, Pas mempunyai prinsip iaitu ‘jangan tamak, jangan kedekut’. Jadi, ia harus dilakukan secara bersama dan adil,” katanya.
Pada masa sama Kamaruzaman berpendapat, pengagihan kerusi secara sama rata amat penting bagi memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru.
“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, peluang untuk menang agak rendah. Sebab itu, jika bertanding dengan maksimum, kemenangan akan menjadi minimum tetapi jika bertanding secara bersama, kemenangan akan menjadi maksimum,” katanya.
Dalam pada itu, Kamaruzaman yakin Pas dapat membantu MN dan PN memenangi PRU-15 kerana menganggap partinya semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi.
“Kenapa Pas bekerjasama dengan MN dan PN? Supaya mudarat yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tidak berulang. Jika dilihat pada sisi Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, pengundi menerima dengan baik kerjasama UMNO dan Pas.
“Jadi, MN terus membina asas yang sangat baik dalam menjamin kesatuan undi Melayu Islam, kestabilan politik dan dominasi kaum Melayu. Sebab itu, Pas terus mendukung falsafah MN dan PN,” katanya. – UTUSAN ONLINE






