PETALING JAYA: Pasangan yang mahu menimang cahaya mata pada masa sekarang mungkin perlu menangguhkan dahulu rancangan tersebut sehingga situasi penularan Covid-19 pulih.
Ini kerana golongan wanita yang mengandung berisiko tinggi terkena jangkitan virus berkenaan terutama dengan peningkatan kes.
Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zailani Hatta Mohd. Dali berkata, imuniti dalam badan wanita mengandung akan menurun untuk menampung kehamilan.
Katanya, apabila seseorang wanita itu hamil, tubuhnya akan mengalami banyak perubahan untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran seorang bayi dan daya tahan melawan penyakit kurang menyebabkan mudah dijangkiti penyakit khususnya penyakit berbahaya seperti Covid-19.
“Semasa hamil sejajar dengan perkembangan janin dalam badan, akan berlaku perubahan dalam sistem pernafasan si ibu kerana ruang paru-paru berkurangan untuk menjalankan fungsi menyalurkan oksigen ke seluruh badan.
“Sekiranya si ibu dijangkiti penyakit Covid-19, ia boleh menjejaskan kesihatan ibu dan anak,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini semalam.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Zailani berkata, tiada keperluan untuk mempercepatkan kelahiran bagi ibu mengandung yang dijangkiti Covid-19.
“Malah tiada keperluan untuk si ibu menggandakan pemeriksaan seperti ultra bunyi dan imbasan selain daripada pemeriksaan lazim sama seperti ibu yang sihat. Selepas ibu disahkan positif, mereka akan diletak di bawah pemerhatian selama dua minggu.
“Namun, dalam sesetengah kes yang melibatkan ibu yang sudah melangkaui minggu ke-36 dan si ibu mempunyai masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, diabetes dan obesiti, pakar perunding perbidanan dan sakit puan mungkin menasihatkan sekiranya perlu kelahiran secara paksa (induced labour) atau pembedahan (caesarean).
Bagaimanapun keputusan ini perlu dibuat bersama pakar perubatan,” jelasnya.
Tambah Dr. Ahmad Zailani, kaedah yang sama turut dilakukan sekiranya kandungan masih belum menginjak usia 36 minggu dan si ibu mengalami kesukaran bernafas serta memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata, belum ada laporan yang menunjukkan ibu yang disahkan positif Covid-19 boleh menjangkiti bayi dalam kandungannya. -UTUSAN






