Negara dijangka menghadapi krisis perkhidmatan doktor pakar menjelang 2030 kerana jumlah yang ada sama ada di hospital kerajaan atau swasta tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
Jumlah doktor pakar yang sedang berkhidmat ketika ini dalam kedua-dua sektor itu adalah kira-kira 13,000 orang sedangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu khususnya untuk merawat pesakit warga emas dan penyakit tidak berjangkit ialah 28,000.
Sehubungan itu Menteri Kesi hatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan komitmen supaya pihaknya dapat menaja lebih ramai doktor kontrak melanjutkan pengajian bagi memenuhi keperluan melahirkan doktor pakar.
“Sekarang ini kita tidak kekurangan doktor siswazah tetapi apa yang kita perlukan doktor pakar. Kekurangan pakar ini menyebabkan pesakit perlu menunggu lama.
“Kementerian Kewangan harus memberi komitmen supaya kita dapat melatih doktor-doktor kontrak menjadi pakar demi memenuhi keperluan 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai (PKR-Tangga Batu) tentang masa depan doktor kontrak yang sehingga kini belum diserap dalam perjawatan tetap.
Rusnah meminta Kementerian Kesihatan menyatakan rancangan untuk menjamin agar negara tidak mengalami brain drained pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Khairy memberitahu, hampir 5,000 doktor kontrak yang terdiri daripada pakar perubatan dan pegawai perubatan telah meletakkan jawatan sejak 2016 hingga Jun 2021.
Menurutnya, ia meliputi 948 orang pakar perubatan dan 4,028 pegawai perubatan yang telah meletakkan jawatan.
“Pakar perubatan yang meletak jawatan adalah seramai 158 orang pada 2016, 170 orang pada 2017, 198 orang pada 2018, 229 orang pada 2019, 161 orang pada 2020 dan 32 orang setakat Jun 2021.
“Pegawai perubatan pula yang meletak jawatan seramai 874 orang pada 2016, 869 orang pada 2017, 734 orang pada 2018, 915 orang pada 2019, 534 orang pada 2020 dan 102 orang setakat Jun 2021,” katanya.
Setakat ini, terdapat seramai 23,096 orang pegawai lantikan kontrak yang merangkumi 23,077 pegawai perubatan lantikan kontrak dan 19 orang pakar perubatan lantikan kontrak.
Jumlah keseluruhan pegawai perubatan adalah seramai 55,981 orang iaitu 32,885 pegawai lantikan tetap yang merangkumi 26,892 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan 5,993 orang pakar perubatan lantikan tetap. – UTUSAN ONLINE






