PETALING JAYA : Struktur peparitan dan longkang di negara ini yang dibina sejak zaman penjajah terutamanya di bandar-bandar besar sudah tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah taburan air hujan khususnya apabila berlaku ketidaktentuan cuaca ekoran kesan perubahan iklim.
Bercakap kepada Nexbyte, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, longkang-longkang di negara ini hanya berupaya menampung 180 milimeter taburan hujan dan jumlah itu semakin meningkat hingga menyebabkan berlakunya banjir akibat limpahan air secara mendadak.
Beliau yang juga Pakar Hidrologi Sekitaran berkata, kesan Lekukan Tropika baru-baru ini telah menyebabkan taburan hujan tinggi dalam sebulan yang turun dalam tempoh 48 jam sekali gus berlakunya peningkatan tampungan saliran air lebih dua kali ganda iaitu sehingga 400 milimeter dan terjadi banjir di Lembah Klang.
“Situasi sebenar dihadapi sistem longkang kita hari ini adalah bukan sahaja sudah lama kerana dibina sejak zaman kolonial, tetapi reka berbentuk konkrit dan menyebabkan limpahan air sekiranya berlaku taburan hujan agak tinggi.
“Longkang di negara ini mampu menampung 180 milimeter air dalam satu-satu masa sedangkan hujan baru-baru ini takungan air mencapai 400 milimeter.
“Bukan sahaja struktur konkrit, sistem perparitan juga berhadapan masalah longgokan sampah yang menjadi punca kegagalan saliran air ketika hujan lebat,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, semua pihak perlu bersedia untuk ‘hidup’ dengan bencana alam yang dijangka berlaku pada bila-bila masa sekali gus bakal mengulangi episod banjir besar yang melanda Lembah Klang.
Jelasnya, taburan hujan lebat sebulan di Lembah Klang yang turun dalam tempoh 48 jam secara tidak langsung membuka mata kepada semua pihak untuk melakukan persediaan dan perancangan dalam mendepani musibah alam khususnya membabitkan pembangunan sistem perparitan.
Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan berkata, reka bentuk longkang perlu diubah kepada bukan konkrit atau swale yang dilihat mesra alam dan mudah diselenggarakan pada bila-bila masa.
“Jika guna cara swale, ia lebih mesra alam apabila air terus menyerap jauh dalam tanah. Malah kosnya lebih rendah berbanding reka bentuk longkang konkrit yang terpaksa diubah suai sekiranya berlaku peningkatan taburan hujan pada masa akan datang kelak,” katanya.
Selain itu, Mohd. Ekhwan menambah, pembinaan longkang baharu tidak menyelesaikan masalah sekiranya pembangunan gagal mengambil kira Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang merupakan garis panduan pembangunan aliran air.
Beliau berkata, masalah banjir yang berlaku hari ini apabila pembangunan gagal mengambil kira manual tersebut dan menyebabkan ketidaksempurnaan aliran air di samping pula tiada penyelenggaran.
“Kita kena ubah pendekatan kita iaitu pembangunan mengambil kira aspek alam sekitar dan paling penting adalah kesedaran orang ramai sendiri iaitu tidak membuang sampah ke dalam longkang.
“Apa guna longkang besar jika dipenuhi sampah sarap, apatah lagi tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Dr. Ahmad Ismail, beliau mencadangkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan teknologi terkini bagi menyelesaikan masalah banjir besar.
Beliau menjelaskan, lokasi yang menerima curahan hujan tinggi di kawasan tanah tinggi perlu mempunyai pengurusan aliran air terbaik sama ada secara semula jadi atau kejuruteraan
“Perkara seperti pemetaan, penambahbaikan sistem saliran dan memahami aliran air dari tanah tinggi ke laut dan lain lain fenomena perlu dilakukan agar kejadian banjir tidak berulang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE






