SHAH ALAM: Lebih empat juta penduduk di Putrajaya dan empat daerah di Selangor iaitu di Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta Sepang mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih.
Bagaimanapun, bekalan air dilaporkan pulih secara berperingkat sejak malam tadi yang bermula dengan daerah Hulu Langat membabitkan 54 kawasan dan bekalan dijangka pulih hari ini.
Menurut Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti operasi kerana dicemari bau diesel sebelum didapati bebas daripada pencemaran itu tengah hari semalam.
“Gangguan yang dilalui tidak mengambil masa terlalu lama, pemulihan selesai dalam tempoh 24 jam mulai malam tadi. Malah henti operasi di LRA Sungai Semenyih pun cuma mengambil masa selama empat jam,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Terdahulu, sebanyak 463 kawasan mengalami gangguan bekalan air itu selepas pencemaran bau seakan diesel di muka sauk LRA berkenaan yang dikesan pada pukul 8.45 pagi semalam.
Loy Sian dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhampiran sebuah premis kilang menyelenggara jentera berat mendapati terdapat pelepasan efluen yang mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak yang disyaki mengalir masuk ke culvert sebelum memasuki Sungai Semenyih.
“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan oleh LUAS dengan meletakkan empat beg serbuk karbon teraktif dan penampan bagi menahan sisa minyak daripada masuk ke dalam Sungai Semenyih.
“Pensampelan yang dijalankan oleh LUAS di kawasan titik pelepasan yang terlibat telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi dianalisis.
“Anggaran jarak lokasi pencemaran tersebut adalah 1.5 km di hulu muka sauk Jenderam Hilir,” jelasnya.
Beliau menambah, tindakan kawalan segera di tapak dalam tempoh kurang empat jam membolehkan LRA Sungai Semenyih beroperasi semula tengah hari semalam. – UTUSAN ONLINE






