PETALING JAYA: Masyarakat tidak akan dapat mengelak daripada Covid-19 malah perlu terus hidup bersama virus itu kerana varian baharu akan terus wujud selagi jangkitannya berleluasa di seluruh dunia.
Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya. Dr. Nurul Azmawati berkata, ini kerana varian baharu akan wujud hasil pembiakan virus di dalam badan manusia.
“Varian-varian yang wujud pada masa ini adalah hasil pembiakan wabak dalam badan manusia. Ada jangkitan, ada pembiakan dan akan ada mutasi yang boleh menghasilkan varian baharu.
“Dalam fasa endemik ini, memang dijangkakan jangkitan akan terus ada dalam masyarakat. Malah saya merasakan bahawa angka sebenar kes adalah lebih tinggi berbanding yang dilaporkan.
“Bagaimanapun, majoriti adalah kes-kes ringan atau tidak bergejala kerana kebanyakan rakyat telah mendapat vaksin lengkap,” katanya ketika dihubungi oleh Mingguan Malaysia.
Tambah beliau, pengeluar vaksin perlu bersedia untuk mengeluarkan formulasi baharu bagi memastikan keberkesanannya terhadap varian-varian baharu yang wujud pada masa kini dan akan datang.
Senada dengan Nurul Azmawati, Pakar Kesihatan Awam, Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan kebanyakan institusi kesihatan awam di seluruh dunia bersetuju bahawa varian baharu seperti varian Delta dan Omicron dijangka terus berlaku.
“Kemungkinan akan ada kenaikan bilangan kes, tetapi selagi kemasukan ke hospital dan kematian dapat dikawal di tahap rendah, kenaikan kes tidak begitu membimbangkan.
“Tetapi masyarakat perlu faham bahawa COVID-19 adalah penyakit baharu yang masih belum betul-betul difahami, jadi cara pengendalian atau pengurusan jangkitan boleh berubah-ubah berdasarkan kajian-kajian baru yang dijalankan.
“Saya lihat pada masa sekarang, sebahagian besar masyarakat sudah cuai dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan terutama ketika banjir melanda baru-baru ini.
“Semua jabatan dan agensi perlu berbincang dan tentukan keadaan ini (tidak mematuhi SOP ketika misi menyelamat dan bantuan) tidak akan berlangsung lagi.
“Lakukan post mortem, mana-mana silap perlu dibaiki serta mengeluarkan garis panduan yang lengkap supaya walaupun banjir kita masih boleh mengawal wabak ini,” ujarnya.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, rakyat Malaysia perlu membuang persepsi bahawa imunisasi badan akan kekal kebal jika sudah lengkap vaksin dan sudah mengambil suntikan dos penggalak.
“Pada pemerhatian saya, sebahagian masyarakat sudah leka dengan SOP serta berpendapat jika sudah lengkap semua suntikan, vaksin dan dos penggalak, imunisasi badan kita akan kebal.
“Janganlah menambah beban frontliners yang sudah bertungkus lumus berbakti kepada kita,” ujarnya. -UTUSAN






