Ketika Kementerian Dalam Negeri akan membentangkan semula lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 (SOSMA) pada mesyuarat Parlimen kali ini, timbul persoalan sama ada terdapat ahli-ahli Parlimen kerajaan ‘ponteng’ sekali lagi pada sesi pengundian.
Ini kerana, semasa pembentangan dan undian kali pertama di Dewan Rakyat, Mac lalu, seramai 31 ahli Parlimen kerajaan tidak hadir sebelum undian bermula, antaranya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO-Bagan Datuk); Datuk Seri Najib Tun Razak (UMNO-Pekan); Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian); Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (UMNO-Putrajaya) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-Kinabatangan).
Hasil undian ketika itu menyaksikan seramai 86 ahli Parlimen tidak setuju berbanding 85 bersetuju, manakala 49 ahli Parlimen tidak hadir dan 31 daripadanya adalah wakil-wakil rakyat kerajaan.
Paling menarik perhatian apabila Ahmad Zahid merupakan pemimpin paling berpengaruh terpaksa mengambil jalan selamat dengan ponteng semasa proses undian, kerana dikatakan tidak bersetuju dengan usul dibawakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut).
Maklumat itu diketahui setelah Ahli Parlimen Bukit Bendera daripada DAP, Wong Hon Wai memberitahu Nexbyte sebelum ini, beliau bersembang dengan Ahmad Zahid di Parlimen meminta penjelasan punca ketidakhadirannya ketika sesi pengundian.
Hon Wai berkata, Ahmad Zahid memberitahu yang beliau enggan bersetuju meluluskan usul itu, dan satu-satunya pendekatan diambil daripada mengelakkan undi memihak kerajaan adalah dengan tidak hadir ke dalam dewan.
Perbualan kedua-dua wakil rakyat itu juga disaksikan oleh Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin (DAP) dan mengesahkan kepada Nexbyte ada pemimpin UMNO mengaku enggan menyokong usul kerajaan.
Pun begitu, ketika dihubungi sebelum ini, Ahmad Zahid menafikan tidak hadir kerana tidak mahu meluluskan undang-undang itu, sebaliknya, beliau mempunyai urusan penting diselesaikan sebelum undi belah bahagian diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Katanya, sekalipun tidak hadir mengundi usul tersebut, tidak bermakna beliau menolak usul kerajaan kerana beliau sendiri merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap SOSMA semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat meluluskan usul bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lalu yang menolak penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan untuk lima tahun lagi bermula 31 Julai ini.
Mengikut aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, kerajaan akan membentangkan semula usul tersebut pada Isnin ini, bagaimanapun, Nexbyte diberitahu yang wakil-wakil rakyat pembangkang tetap menolak kerana SOSMA disifatkan tidak demokratik dan menindas hak seseorang daripada dibicarakan di mahkamah.
Sekiranya berlaku lagi sesi undi belah bahagian pada pembentangan kali kedua nanti, Hamzah sudah boleh memikirkan strategi memastikan SOSMA diluluskan dengan undi majoriti ahli Dewan Rakyat akibat tindakan ahli Parlimen kerajaan yang ‘lari’ dari mengundi.
Bukan hanya ahli Parlimen kerajaan, beliau perlu bijak ‘mencairkan’ hati pembangkang dengan hujah-hujah kukuh supaya subseksyen SOSMA terus berkuasa, kerana di mata mereka, SOSMA ibarat undang-undang zalim yang bukan sahaja digunakan untuk ahli politik, malah wartawan yang melaporkan isu-isu keganasan dan jenayah terancang.
Tidak dapat dibayangkan jika ‘kedegilan’ Hamzah membentangkan semula usul itu, namun akhirnya tetap gagal. Ini bukan sahaja membuang masa semua pihak, malah membawa persepsi buruk terhadap kerajaan longgar pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN






