JERANTUT: Isu minyak masak peket bersubsidi yang sudah dua minggu terputus bekalan menimbulkan keresahan hampir 4,000 penduduk di Felda Jengka 24 dan Felda Sungai Retang di sini.
Rata-rata penduduk di situ meluahkan rasa kecewa dan bimbang ketiadaan minyak masak peket satu kilogram itu akan berlarutan lebih lama lagi.
Akibatnya, pengguna di dua tanah rancangan terbabit terpaksa membeli minyak masak botol dengan harga mahal lebih RM40 ketika ini.
Bercakap kepada Nexbyte, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, penduduk di sini masih bernasib baik kerana bekalan minyak masak botol masih ada.
“Jadi mahu tidak mahu terpaksalah juga beli minyak masak botol walaupun harga semakin mahal.
“Kami harap isu ini segera diberi perhatian oleh kerajaan, dibimbangi jika terus berlarutan ia akan membebankan peneroka kerana harga sawit pun semakin menurun ketika ini,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Razak berkata, peneroka berterima kasih kepada kerajaan kerana masih mengekalkan pemberian subsidi minyak masak peket satu kilogram seperti mana dilaksanakan sejak 2007 lalu.
Jelasnya, ia sebagai usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat di negara ini khususnya golongan yang layak menerimanya.
“Cumanya di Felda Jengka 24 ini kami sudah dua minggu tidak menerima bekalan minyak masak peket. Tiada tahulah di mana silapnya dan mungkin ada terlepas pandang.
“Dicadangkan pihak kerajaan dapat segera membekalkan minyak masak peket di kedai D’Mart yang terdapat di tanah rancangan. Jadi, untuk pengedaran kepada kedai-kedai runcit, biarlah ia diuruskan oleh kedai D’Mart terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Muhamad Hafizan Umar berkata, penduduk berharap krisis bekalan minyak masak peket di tanah rancangan itu segera diatasi dan tidak berlarutan terlalu lama.
“Harapan kami masalah ini dapat segera diselesaikan kerana bekalan minyak masak peket bersubsidi ini merupakan keperluan utama penduduk,” katanya. – UTUSAN






