ALOR SETAR: Walaupun harga minyak masak botol lima kilogram (kg) kini ditetapkan RM34.70, masih terdapat peniaga yang menjualnya lebih mahal kerana stok yang ada mengikut harga sebelum ini.
Menurut peniaga, mereka tidak ada pilihan kerana masih ada stok lama yang belum dihabiskan.
Seorang pekerja sebuah kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Izudin berkata, dia diberitahu oleh majikannya untuk mengekalkan harga lama iaitu antara RM42 hingga RM44 mengikut jenama kerana baru mengambil stok baru-baru ini.
“Sekiranya kami menerimanya pada harga lebih murah, sudah pasti tiada masalah untuk menjual pada harga RM34.70 sebotol,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, peniaga runcit, Adila Zakaria, 38, berkata, harga minyak masak botol di kedainya masih dijual sehingga RM44 mengikut jenama kerana tidak menyedari penetapan harga siling baharu itu.
“Saya rasa tidak wajar juga jual murah kerana harga kos beli minyak masak botol sebelum ini agak tinggi. Jika jual ikut harga RM34.70, maka saya akan rugi banyak,” katanya.
DI IPOH: Peniaga kedai runcit di sini juga bimbang mengalami kerugian berikutan harga minyak masak dalam botol lima kilogram kini ditetapkan harganya secara bulanan mulai semalam pada harga RM34.70.
Peniaga yang ditemui berkata, mereka bimbang menambah stok minyak masak dalam botol lima kilogram yang dijual antara RM39 dan RM40 namun kini ditetapkan pada harga maksimum RM34.70.
Seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, sudah pasti bulan ini peniaga akan mengalami margin keuntungan yang sedikit kerana selalunya minyak masak botol lima kilogram habis dijual dalam masa sebulan.
“Sekarang rata-rata pembeli memilih minyak masak satu kilogram bersubsidi yang dijual pada RM2.50 sepeket,” katanya kepada Nexbyte.
Di DUNGUN: Tinjauan Nexbyte di daerah ini mendapati, minyak masak lima kilogram dijual pada harga RM35 hingga RM36 manakala minyak masak botol dua kilogram dijual pada harga RM17 hingga 18 meskipun harga yang diselaraskan adalah sebanyak RM14.70.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Anis, 34, berkata, dia terpaksa jual pada harga RM35 manakala RM17.90 untuk dua kilogram berikutan mendapatkan bekalan daripada pasar raya.
“Kami tidak ada pemborong terus yang membekalkan minyak. Bekalan minyak botol kami terpaksa beli di pasar raya dan kami hanya ambil sedikit keuntungan,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.
DI JOHOR: Tinjauan Nexbyte di sini mendapati minyak masak botol lima kilogram dijual antara harga RM34.50 hingga RM37.95 sebotol mengikut jenama berbeza.
Seorang pengguna, Siti Maishara Supaid, 37, memberitahu, penetapan harga baharu bagi minyak masak itu satu perkara yang baik khususnya kepada golongan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
“Syukur Alhamdulillah apabila kerajaan bertindak tegas dengan menetapkan harga bagi barangan asas seperti minyak masak yang merupakan satu keperluan bagi semua golongan dan setiap keluarga menggunakannya,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadzli, 30, berharap penetapan harga siling minyak masak itu akan turut menyebabkan beberapa barangan keperluan asas lain kembali diturunkan harga.
“Sebelum ini, banyak produk lain turut dinaikkan harga dengan menggunakan alasan minyak masak sudah naik harga, tetapi kini apabila harga minyak masak turun, takkan barangan lain kekal mahal,” ujarnya.
Di KOTA BHARU: Nexbyte di beberapa pasar raya dan kedai runcit di bandar ini mendapati minyak masak itu dijual di antara RM32 hingga RM34.70 berbanding RM40 sebelum ini.
Seorang peniaga pisang goreng Napisah Wan Hamat, 48, menyifatkan penetapan semula harga minyak masak oleh kerajaan bermula hari ini melegakan peniaga sepertinya.
“Harga baru yang diumumkan hari ini sudah murah tetapi saya berharap ia akan turun harga lagi seperti harga asal yang dijual dengan harga RM29.50,” katanya kepada Nexbyte hari ini. – UTUSAN






