SHAH ALAM: Pembersihan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) yang berbukit-bukau dan sebelum ini dipenuhi pokok hutan semula jadi dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan menjejaskan 5,000 rumah di sekelilingnya.
Jumlah 5,000 rumah itu melibatkan lapan kawasan perumahan di sekitar HSKBC antaranya seperti perumahan di Taman Sandaran Permai, Taman Bukit Sandaran, Puncak Perdana dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Risiko berlaku runtuhan semakin merisaukan apabila kawasan yang ‘digondolkan’ tersebut terletak berhampiran tiga lokasi takungan air iaitu Tasik Cermin dan dua lagi lokasi yang terletak berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari dan Perdana Heights.
Kedudukan kawasan yang dibersihkan seperti di Kompartmen 32 juga dibimbangi bakal menyebabkan kehilangan kestabilan tanah bagi perumahan di sekitar Bukit Bayu sekiranya berlaku tanah runtuh di lokasi yang dibersihkan itu.
Bercakap kepada Nexbyte, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean berkata, selain Kompartmen 32, pembersihan di Kompartmen 35 berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari paling `menakutkan’ kerana melibatkan bahagian atas dan lereng bukit.
Hakisan
“Hujan lebat berterusan boleh menyebabkan berlaku hakisan tanah, secara tidak langsung menyebabkan tanah runtuh. Ini kerana bahagian atas juga sudah dibersihkan, bermakna tiada tempat tadahan air.
“Jika tanah runtuh berlaku, ia akan mencetuskan gelombang dari takungan air seperti tsunami turun ke bawah dan boleh menyebabkan banjir melanda Taman Sandaran Permai dan Taman Bukit Sandaran di Puncak Perdana,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, situasi sama juga boleh terjadi jika tanah runtuh berlaku di bahagian belakang bukit berkenaan kerana terdapat perumahan Perdana Heights yang juga terletak bersebelahan dengan tempat takungan air.
Akhbar ini semalam melaporkan HSKBC tidak berhenti diancam pembembersihan dan terus berlaku menerusi pewartaan terbaharu pada 5 Mei lalu.
Nyahwarta terbaharu itu membabitkan kawasan seluas 406 hektar tetapi membimbangkan apabila tinjauan melihat satu lagi kawasan berhampiran Bukit Bayu membabitkan kawasan seluas kira-kira 56.6 hektar turut dibersihkan.
Sementara itu, aktivis SACF, Dr. Lim Teck Wyn memaklumkan, beliau menerima satu laporan pemantauan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di kawasan Kompartmen 35 bertarikh 26 Ogos lalu.
Cerun
Menurut beliau, laporan tersebut meminta penyelenggaraan cerun dilakukan di kawasan yang digondolkan iaitu berhampiran tempat takungan air dan Persiaran Mokhtar Dahari.
Susulan itu, Pengarah JAS, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya belum menerima laporan penuh mengenai pemantauan tersebut namun secara ringkas memaklumkan pemantauan tersebut hanyalah pemeriksaan biasa dan berkala.
“Saya belum dapat laporan (penuh). Itu pemeriksaan biasa dan berkala sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pewartaan nyahwarta pada Mei lalu kerana kerajaan negeri enggan menanggung risiko disaman oleh syarikat pemilik atau pemaju.
Ini kerana, menurut beliau, pemberian tanah tersebut diputuskan kerajaan negeri sebelum ini menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). – UTUSAN






