PEMILIHAN UMNO peringkat bahagian di Selangor bakal menyaksikan persaingan warna-warni apabila melibatkan pertembungan gergasi-gergasi ahli politik.
Malah, daripada 22 bahagian, lapan kawasan bakal menyaksikan pertembungan sengit dan empat daripadanya dikenal pasti melibatkan tokoh-tokoh berpengalaman termasuk mereka yang lebih 10 tahun meninggalkan politik.
Bahagian UMNO yang dikenal pasti adalah Sungai Besar apabila penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos disahkan bakal berentap dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan penjurunya kerana borang pencalonan baru diserahkan semalam, namun Mohamad Khir dilaporkan sudah memulakan kerja-kerja mencari pengaruh untuk memastikan kemenangan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu juga dijangka menerima tentangan sengit apabila kecenderungan perwakilan di kawasan tersebut terutama mereka yang memegang jawatan peringkat cawangan cenderung memberi sokongan kepada Jamal.
NOH OMAR
Tanjong Karang juga bakal sengit apabila bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Bahagian, Tan Sri Noh Omar sedang mencatur pengaruhnya di situ.
Perkembangan tersebut menyaksikan ada dua kumpulan di Tanjong Karang iaitu pro Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pro Noh.
Bekas ahli parlimen enam penggal itu pasti tidak akan mendedahkan siapa wakilnya dan beliau pernah menasihatkan rakan-rakannya yang hendak bertanding berhati-hati supaya pencalonan mereka tidak terbatal di saat-saat akhir.
Di Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dijangka berdepan pertandingan lebih tiga penjuru apabila timbalannya yang juga bekas ADUN Batang Kali, Datuk Mohd. Isa Abu Kasim dan bekas ketua pemuda bahagian, Mohd. Adha Zainal Aznam dikhabarkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian.
Di Sabak Bernam, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz juga dikhabar akan bersaing dengan Datuk Dr. Abdul Rahman Bakri yang mahu mempertahankan jawatannya.Selain kerusi hangat, dua bahagian diramal calonnya menang tanpa bertanding seperti Kota Raja, Tengku Zafrul yang diberi laluan oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Kamruzzaman Johari untuk menggantikannya.- UTUSAN






