SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin Abu Bakar perlu berhati-hati bagi menawarkan diri bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor dan tidak menjadikan popularitinya semata-mata sebagai kayu ukur.
Ini kerana, pengundi di Selangor dalam kategori dinamik dan tidak meletakkan undi kepada calon atau parti, sebaliknya keadaan itu boleh berubah dalam masa singkat terutama menjelang PRN yang dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, tiada siapa dapat menjangkakan dengan tepat apa yang akan berlaku pada esok atau lusa dan keadaan itu pasti mempengaruhi pemikiran pengundi apabila tiba hari mengundi.
“Sejarah membuktikan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut (termasuk Semenyih), menang dua PRN dengan jumlah keputusan yang besar tetapi kita kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Jadi, itu sangat dinamik, ia mengikut citarasa pengundi waktu atau semasa mengundi. Jadi apa hendak berlaku tiga atau empat bulan dari sekarang, adalah sesuatu yang tidak boleh siapapun jangka,” katanya ketika ditemui.
Bgaimanapun, menurut beliau, Malaysia negara demokrasi dan Khairy bebas menentukan naratif politik baharunya selepas dipecat UMNO pada 27 Januari lalu.
Bekas Menteri Kesihatan itu yang bertanding Parlimen Sungai Buloh atas tiket Barisan Nasional, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Ramanan Ramakrishnan dengan undi diperoleh masing-masing sebanyak 48,250 dan 50,943. – UTUSAN






