PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang atau mempersoalkan kesahihan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun lalu sah kerana penetapannya memenuhi kriteria ditetapkan.
Malah Setiausaha Jawatankuasa Cerapan Hilal Syawal 1443H di Labuan pada 2022, Awangku Bolkhizan Ahmad Thani mengesahkan tiada kekhilafan berlaku ketika proses tersebut.
Ketika itu, beliau ialah pegawai di Unit Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) Cawangan Labuan adalah individu yang mengakibatkan berlaku ‘raya terkejut’ tahun lepas.
“Masa itu ada 30 orang selaku saksi dan kami semua bersyukur kerana buat pertama kali dapat lihat anak bulan Syawal muncul tiba-tiba,” kata Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia pada slot ‘Tanya Jakim’ yang disiarkan di laman sosial agensi itu semalam.
Ia susulan laporan Nexbyte mengenai tular dakwaan beberapa pakar falak tempatan yang mengatakan Hari Raya Puasa tahun lalu tidak sah kerana ada banyak isu.
Justeru, proses pencerapan hilal Syawal melibatkan 29 lokasi pada minggu depan bakal dilakukan ketat dengan jangkaan awal bahawa anak bulan cukup sukar untuk dilihat.
Langkah itu juga ekoran keghairahan segelintir umat Islam yang ‘berkempen’ konon Aidilfitri bakal disambut sehari awal dan sekali lagi mengulangi insiden tahun lalu.
Seorang lagi saksi kejadian itu tahun lepas, Nik Abdul Rahman Mustafa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut, Awangku Bolkhizan berkata, memang pada mulanya data kiraan hisab menunjukkan kebarangkalian 50:50, tetapi ada analisis lain memberikan hasil sebaliknya.
“Kami mula nampak hilal pukul 6.38 petang, iaitu 10 minit selepas matahari terbenam dan tempoh itu berlaku selama tujuh minit dengan semua saksi turut puas hati,” jelas beliau.
Meskipun stesen cerapan di Labuan paling awal menghantar laporan terus kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, namun ia tidak ditularkan melalui media sosial supaya tidak mempengaruhi keputusan proses cerapan di Semenanjung yang berakhir lewat senja tanpa ada laporan hilal dikesan. – UTUSAN






