PETALING JAYA: Kerajaan boleh membina sekolah, hospital atau menyelenggara pelbagai infrastruktur di kawasan yang memerlukan jika tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM2.1 bilion dilangsaikan.
Sebelum ini dilaporkan sebanyak 380 buah sekolah dan 400 klinik daif di seluruh negara perlu diselenggarakan kerana daif termasuk ada yang disebabkan terjejas akibat banjir.
Penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan perlu bertegas dan mengenakan undang-undang bagi memastikan 26,000 syarikat serta entiti perniagaan membayar hutang cukai tersebut.
Menurut beliau, kerajaan hanya boleh memberi tempoh sehingga dua bulan sahaja untuk syarikat-syarikat terlibat melangsaikan tunggakan mereka sebelum mengenakan tindakan mahkamah atau perundangan.
“Walaupun GST sudah dimansuhkan, tetapi mereka (peniaga) perlu ingat bahawa syarikat mempunyai tanggungjawab semasa cukai tersebut dikuatkuasakan, jadi mereka sepatutnya menjalankan amanahnya.
“Ini juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta GST) yang dahulu. Walau macam mana sekali pun perniagaan tersebut perlu tetap mengembalikan atau hantar wang kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 26,000 syarikat dan entiti perniagaan belum melangsaikan tunggakan GST yang semuanya berjumlah hampir RM2.1 bilion walaupun cukai tersebut sudah dimansuhkan sejak 2018.
Jumlah tunggakan RM2.1 bilion itu termasuk penalti yang dikenakan terhadap semua syarikat dan entiti perniagaan yang lewat membuat pembayaran cukai GST yang dilaksanakan pada tahun 2015. – UTUSAN






