PETALING JAYA: Muhammad Zulhilmi Mohd. Zaidi, calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2022 mahu mengubah nasib keluarganya yang bukan sahaja cacat penglihatan tetapi hidup dalam serba kekurangan.
Zulhilmi yang buta sebelah mata manakala sebelah lagi kabur berkata, dia yang bersekolah di Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani (MTISI) di Nilai, Negeri Sembilan tidak mahu menyerahkan hidupnya kepada takdir semata-mata.
“Saya tekun belajar dan akhirnya saya, ibu bapa dan dua adik saya gembira menerima keputusan SPM saya 7A,” kata pelajar itu ketika ditemui di Taman Medan di sini semalam.
Cerita Zulhilmi, dia mahu menyambung pelajarannya ke peringkat universiti untuk menjadi cikgu dan hasratnya adalah untuk membawa keluarganya keluar daripada kesusahan.
“Sebagai anak sulung, saya membawa harapan besar ibu, Siti Esah Manab, 44, dan ayah, Mohd. Zaidi Rosli, 47, untuk hidup lebih baik selepas saya menamatkan pengajian.
“Jika saya tidak belajar tinggi, saya bukan sahaja tidak dapat membantu keluarga tetapi diri saya juga tidak ke mana,” katanya.
CACAT
Mengimbau kehidupan keluarganya, Zulhilmi berkata, semua ahli keluarganya cacat penglihatan dengan bapa dan dua adiknya buta kedua-dua belah mata manakala ibunya bernasib sama sepertinya.
“Bapa saya hanya bekerja sebagai tukang urut di Brickfields, Kuala Lumpur setiap hari sehingga malam namun tidak mendapat komisen yang banyak.
“Ibu suri rumah. Kehidupan kami lebih banyak bergantung kepada duit zakat Jabatan Kebajikan Masyarakat RM450 dan Zakat Selangor RM500) sebulan.
“Kami tidak ada kereta, ibu bapa saya berkorban mengeluarkan kos menyewa kenderaan atau menaiki grab dan kadangkala menaiki komuter untuk mengambil atau menghantar saya pulang sewaktu cuti sekolah di Nilai,” katanya.
Kata, Zulhilmi, dua lagi adiknya iaitu Muhammad Zahiruddin, 15, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMPK) manakala Siti Damia Faqihah, 5, belum lagi bersekolah.
Mengulas lanjut, Zulhilmi berkata, cabaran dan kekurangan dihadapinya menjadi pendorong untuk dirinya berusaha dengan gigih.
KETINGGALAN
“Walaupun kadangkala berasa ketinggalan dalam pembelajaran, kawan-kawan dan guru sentiasa membantu dan mempraktikkan slogan sekolah “pinjamkan saya mata anda”.
“Oleh kerana hanya satu mata sebelah kiri sahaja berfungsi, saya menggandakan usaha belajar sehingga pukul 3 atau 4 pagi setiap hari,” katanya.
Katanya, dia bertekad mendidik generasi baharu khususnya murid-murid OKU agar dapat merebut peluang untuk turut berjaya walaupun mempunyai kekurangan fizikal.
Sementara itu, Pengetua MTISI, Mohd. Affendi Othman berkata, sekolahnya merekodkan pencapaian cemerlang SPM pertama kali melibatkan pelajar OKU.
“Zulhilmi pelajar OKU pertama di MTISI yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
“Kami memberi tajaan penuh kepada Zulhilmi dan menjadi pelajar harapan sekolah kerana melihat kepada potensi dan usahanya melalui duit sumbangan orang ramai dan pelbagai agensi,” katanya.
Kata Mohd. Affendi, sekiranya orang ramai ingin menyalurkan bantuan buat Zulhilmi merekaboleh menghubungi pelajar itu di talian nombor 011-73588909.






