PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang pensyarah sebuah kolej ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan wang berjumlah RM6,000.
Ketiga-tiga individu tersebut disyaki membuat tuntutan berkaitan pembekalan peralatan mengajar pada 2021, sedangkan pembekalan itu tidak pernah dilaksanakan.
Sumber berkata, ketiga-tiga individu termasuk pensyarah wanita yang semuanya berusia l 30-an itu ditahan, semalam antara jam 3 hingga 6 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka, Kuala Lumpur dan Perak.
“Individu lelaki yang juga berkhidmat di kolej sama dengan pensyarah wanita terbabit dipercayai berpakat dengan seorang pembekal membuat tuntutan palsu untuk membekalkan peralatan mengajar pada tahun 2021,” katanya
Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Ketiga-tiga individu sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai direkodkan,” katanya.
Katanya, SPRM Perak akan meningkatkan pemantauan ke atas perolehan kerajaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dan ketirisan kepada dana awam di negeri itu.- UTUSAN





