PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bimbang dengan sikap masyarakat kini yang seolah-olah menganggap perlakuan jenayah terutamanya aktiviti seksual membabitkan kanak-kanak dan remaja sebagai ‘perkara biasa’.
Bercakap kepada Nexbyte, beliau menegaskan, perlakuan itu adalah satu jenayah serius dan menjadi satu tanggungjawab bersama untuk melindungi kanak-kanak.
“Ada sesetengah masyarakat menganggap aktiviti seksual merupakan perlakuan normal dan bukan satu jenayah dan paling dikhuatiri ialah perlakuan itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
BEBAS
“Turut membimbangkan ialah hubungan seks bebas dalam kalangan kanak-kanak serta remaja sudah menjadi perbuatan tidak asing lagi bagi masyarakat kini,’’ katanya ketika dihubungi.
Beliau diminta mengulas statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan mengenai kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak yang meningkat 9.5 peratus tahun lalu dengan 1,621 kes berbanding hanya 1,481 kes pada 2021.
Mengikut Jabatan Perangkaan, bilangan kanak-kanak yang terbabit dengan jenayah tahun lalu pula merekodkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 3,013 kes berbanding 3,457 kes pada 2021.
Menurut Razarudin, penurunan statistik jenayah yang dilaporkan harus dilihat dengan lebih mendalam dan diperhalusi kerana dikhuatiri ia tidak menggambarkan jenayah itu berkurangan.
KESEDARAN
Sebaliknya, jelas beliau, ada kemungkinan sesuatu jenayah itu tidak dilaporkan kerana kurang kesedaran ahli masyarakat atau mereka yang terkesan dengan jenayah tersebut.
Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, 5,519 kes telah dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) di antara 2018 hingga Januari tahun ini.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, pihaknya tidak akan berhenti membendung jenayah melibatkan kanak-kanak kerana golongan itu harus dilindungi.
Jelas beliau, antara usaha dilakukan melalui kempen kesedaran jenayah dan kempen dalam komuniti terhadap kumpulan sasar terutama kanak-kanak, remaja dan ibu bapa.
“Kempen ini bagi memberi kefahaman berkaitan risiko persekitaran, kaedah dan tindakan yang perlu diambil untuk melindungi kanak-kanak selain untuk kanak-kanak itu sendiri meningkatkan kawalan diri.
“Ini juga bagi membantu masyarakat tahu mengenai hak, tanggungjawab dan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa.
“Antaranya perkongsian trend jenayah semasa, kesan dari sudut perundangan dan berkaitan prosedur dan bentuk sokongan atau perlindungan yang diberikan kepada mangsa atau mereka yang terkesan dengan jenayah ini,” ujar beliau. – UTUSAN






