PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi sindiket penipuan dengan menggodam aplikasi sosial Telegram dan Whatsapp sebelum menghubungi dan meminjam wang daripada ahli keluarga serta kenalan melalui senarai nama panggilan.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mendapati kebelakangan ini sindiket penipuan sering menggunakan kaedah tersebut dengan menggodam aplikasi sosial peribadi individu sehinggakan pemilik sebenar tidak dapat mengakses Telegram dan Whatsapp mereka.
Katanya, scammer kemudian akan menghantar mesej dan meminta pinjaman wang dengan jumlah tertentu kepada ahli keluarga dan kenalan.
“Hal ini sehinggakan ramai yang terpedaya dengan memberi pinjaman kepada ‘rakan’ namun sebenarnya scammer.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 494 kes dengan kerugian RM2.5 juta direkodkan. Sejak 1 Januari lalu hingga semalam, kira-kira 50 kes melibatkan RM238,732 dicatatkan membabitkan penipuan penyamaran ini,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ semalam.
Menurut Ramli, hal ini dilihat membimbangkan apabila sindiket yang berjaya menggodam aplikasi sosial peribadi juga mampu mengakses perbualan melibatkan pemilik sebenar dengan individu lain.
Malah, scammer tersebut turut menghantar mesej dengan pautan-pautan tertentu bagi menggodam data peribadi atau maklumat perbankan.
“Ini yang kita risaukan apabila mereka dapat akses Whatsapp dan Telegram individu sehingga dikhuatiri boleh mengambil kesempatan terhadap maklumat-maklumat tertentu,” ujarnya.
Buat masa ini, tambahnya, tiada sebarang dilakukan kerana pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.
Sehubungan itu, Ramli mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang mesej yang dihantar kenalan atau ahli keluarga yang cuba meminjam wang. – UTUSAN






