GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meminta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk lebih bertanggungjawab dalam isu pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar yang dibantah penduduk di kawasan itu.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong berkata, pada hujung tahun lalu, Kon Yeow menjelaskan bahawa semua kelulusan yang diberikan kerajaan negeri bagi projek pembinaan asrama pekerja asing adalah mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).
”Namun, beberapa hari lalu, Kon Yeow pula menyatakan kerajaan negeri tidak boleh menghalang pemilik tanah daripada memohon membina asrama pekerja asing di atas tanah milikan mereka.
“Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mempertimbangkan permohonan pemilik tanah, dan kelulusan bersyarat akan diberikan sekira permohonan ini diluluskan,” kata beliau di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow tidak sepatutnya menggunakan alasan bahawa segala kelulusan dibuat mengikut prosedur dan peraturan sekali gus mengetepikan bantahan dan suara rakyat berhubung projek itu.
Pada Disember tahun lalu, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.
Susulan itu, Kon Yeow memaklumkan, projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar yang dibantah penduduk setempat sebenarnya hanya berkapasiti lebih 7,000 pekerja sahaja.
Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, dengan alasan tersebut adakah Kon Yeow cuba melarikan diri daripada bertanggungjawab dalam isu pembinaan asrama pekerja asing itu dengan menegaskan permohonan projek pembinaan asrama itu di luar kawalan kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Kami berpandapat sebagai Ketua Menteri beliau harus mengambil berat dan mendengar kepada suara rakyat, khususnya penduduk di Teluk Kumbar.
”Kon Yeow harus membuat pertimbangan semula dari segi keselamatan, kesihatan dan cara hidup masyarakat tempatan dengan membatalkan projek pembinaan asrama ini,” katanya. – UTUSAN






