PETALING JAYA: Negara perlu mewujudkan sebuah dasar yang menetapkan setiap syarikat memberi keutamaan terhadap graduan tempatan dalam pengambilan pekerja.
Bercakap kepada Nexbyte, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, dasar tersebut dapat membantu menjaga kebajikan pekerja tempatan.
Menurut beliau, kewujudan dasar tersebut akan dapat menyelesaikan masalah pasaran pekerja dalam negara yang ketika ini menghadapi kekurangan pekerja tempatan dan kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Ini juga dapat menyokong pembangunan ekonomi dalam jangka panjang dengan memberikan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.
“Dasar memberi keutamaan kepada graduan tempatan juga dapat memotivasikan sistem pendidikan tempatan untuk lebih menyesuaikan kurikulum dengan keperluan pasaran pekerjaan tempatan.
“Ini akan menghasilkan lebih banyak pekerja yang memiliki kemahiran dan pengetahuan yang sepadan dengan keperluan industri tempatan, mencipta keharmonian antara penawaran tenaga kerja dan permintaan pasaran,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, dasar untuk membenarkan pelajar asing bekerja dalam negara akan menutup peluang graduan tempatan dan merugikan pelaburan yang dilakukan untuk melahirkan tenaga mahir.
Mohd. Effendy berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang seiring dengan usaha memperkukuhkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan tempatan seperti penambahbaikan sistem pendidikan serta latihan vokasional. – UTUSAN






