KUANTAN: Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian pukul yang berlaku di sebuah kedai burger berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Gambang di sini yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan dari mangsa yang berusia 20 tahun pada pukul 3.16 petang semalam.
Katanya, dalam laporan dibuat, kejadian dikatakan berlaku pada pukul 11 malam Isnin lalu apabila beraku perselisihan faham antara pengadu dan peniaga burger sehingga mengakibatkan pergaduhan.
“Mengikut fakta kes, pengadu mendakwa dipukul, disepak dan dipijak oleh tiga lelaki sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka di bahagian kening sebelah kiri dan sakit di seluruh badan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Wan Mohd. Zahari, hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian pukul terjadi akibat suspek iaitu penjual burger tidak berpuas hati dengan pengadu kerana tidak membayar dua biji burger berharga RM9 yang dibeli Ahad lalu sekitar pukul 1 pagi.
“Hasil rakaman percakapan terhadap pengadu dapati pengadu tidak pasti sama ada tiga lelaki atau seorang saja yang memukul pengadu kerana pada masa kejadian tidak melihat dengan jelas tetapi ada seorang memukul pengadu menggunakan tangan dan kaki dan terdapat dua orang lagi rakan kepada suspek turut ada bersama.
“Ketiga-tiga suspek itu juga tidak mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah kepada pengadu semasa kejadian serta tidak menggunakan apa-apa senjata. Pengadu juga tidak melawan ketika dipukul oleh suspek,” ujarnya.
Wan Mohd Zahari juga memberitahu, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan percakapan pengadu sudah dirakam dibawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Sejak semalam tular satu hantaran di sebuah kumpulan laman sosial Facebook kenyataan seorang pemilik akaun berkaitan kejadian pukul terbabit sekali gus meminta pemukul tampil membuat pengakuan.
Hantaran terbabit setakat ini mendapat 5,000 tanda suka, 497 komen dan 2,000 perkongsian. – UTUSAN






