KUANTAN: Pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu adalah bagi memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada ketika itu.
Apabila Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang juga Sultan Pahang menitahkan sedemikian di peringkat Pusat, maka Pahang juga pasti ingin selari dengan kerajaan Pusat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, bagi mengelak kerajaan tergantung, UMNO dan BN mengambil sikap berjiwa besar apabila sanggup mengenepikan pendirian ‘No Anwar, No DAP’ yang dipegang selama ini.
“Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awalnya menitahkan supaya Perikatan Nasional (PN) dan PH membentuk kerajaan perpaduan. Tetapi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu berbuat demikian kononnya bagi menjaga prinsip parti itu.
“Saya pasti bekas Ahli Parlimen DAP, Dr. P. Ramasamy sudah sedia maklum tentang ini. Bekas parti diwakilinya pun patuh titah Agong. Adakah Ramasamy tidak faham atau sengaja buat tidak faham titah Yang di-Pertuan Agong ke-16,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, Ramasamy tidak layak bercakap soal pengkhianatan kerana beliau sendiri mengkhianati partinya apabila mengumumkan keluar DAP pada 10 Ogos 2023 setelah namanya tidak tersenarai sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lalu.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, selepas itu, Ramasamy mengumumkan untuk menubuhkan parti baharu, Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) pada 27 November 2023.
Susulan itu, Ramasamy menyindir kembali Naib Presiden UMNO tersebut dengan menyebut: “UMNO berganding dengan PKR dan DAP, bukan khianat?”
Bekas Ahli Parlimen DAP itu turut meminta Wan Rosdy supaya mengkaji semula kedudukannya di Pahang yang didakwanya kekurangan kemajuan kerana beberapa tahun lalu Menteri Besar tersebut memberikan arahan untuk merobohkan kebun-kebun milik petani di Cameron Highlands.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, jika benar dikhianati, MCA dan MIC tentu meninggalkan BN seperti mana dilakukan Ramasamy keluar DAP setelah namanya tidak tersenarai sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lalu.
“Inilah bezanya pemimpin yang setia. Beza dengan Ramasamy, apabila nama tidak dicalonkan, umum keluar DAP dan tubuh pula parti baharu, Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai). Untuk apa Urimai ditubuhkan, sebab kecewa?,” soalnya.
Beliau dalam pada itu berkata, Ramasamy tiada hak mencampuri urusan negeri ini kerana selaku Menteri Besar, Wan Rosdy melaksanakan tanggungjawabnya selaku pemimpin bagi membanteras pencerobohan tanah termasuk di Cameron Highlands.
Sebagai kerajaan ujarnya, Menteri Besar perlu mengambil tindakan tentang pencerobohan tanah, masalah setinggan dan lain-lain demi kemajuan jangka panjang.
“Rekod Wan Rosdy memimpin negeri Pahang cukup cemerlang dan terbukti dengan peningkatan hasil negeri dan rakyat semua golongan mendapat pelbagai bantuan. Usahlah Ramasamy sibuk urusan negeri ini, seperti mana kata Wan Rosdy, Ramasamy lebih baik berdiam diri dan menikmati alam persaraan daripada mengulas tentang isu pengkhianatan,” katanya. – UTUSAN






