PETALING JAYA: Kadar baharu gaji minimum perlu dinaikkan kepada RM2,600 dan ke atas bagi mengimbangi peningkatan harga barangan sekali gus menghapuskan miskin tegar.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, jika berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) memerlukan kenaikan kadar gaji perlu dilakukan setiap dua tahun.
“Kalau mengikut kajian Bank Negara Malaysia pada 2018 sepatutnya kadar gaji minimum individu bujang adalah RM2,600.
“Pada 2013, MTUC memohon gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800. Secara logiknya, pada 2024 sudah semestinya ia akan menjadi lebih daripada nilai itu,” katanya.
Terdahulu, kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum tahun ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kadar gaji minimum akan dikaji semula berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Mengulas lanjut, Kamarul berkata, kadar RM2,600 mampu menangani masalah seperti pendapatan garis kemiskinan (PGK) miskin tegar sekali gus menghapuskan individu berpendapatan miskin tegar.
Selain itu, katanya, kadar baharu itu juga mampu meningkatkan kuasa pembeli kerana peningkatan harga barangan semasa bagi menampung kos sara hidup individu.
“Apabila gaji minimum dinaikkan ia menyelesaikan masalah pekerja bawahan yang terpaksa kerja lebih masa dan membuat dua kerja sehari,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Wan Amsyar Hadie berkata, sudah tiba masanya kerajaan melihat dengan lebih serius berkenaan gaji minimum siswazah selari dengan dasar gaji progresif dan perlu beralih kepada peringkat implementasi.
“Cabaran utama meningkatkan kebolehpasaran graduan adalah kadar gaji terlalu rendah kepada graduan lepasan universiti menyebabkan ramai memilih untuk tidak bekerja dalam bidang dipelajari.
“Mereka cenderung pilih gig ekonomi, pempengaruh media sosial atau berhijrah ke luar negara. Ini merugikan negara apabila pelapis tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang tidak meneruskan apa yang dipelajari,” kata beliau. – UTUSAN






