SEREMBAN: Tujuh Bazar Ramadan di negeri ini membuang kira-kira 5,643 kilogram (kg) makanan dan minuman dianggarkan bernilai RM62,073.44 sehingga Jumaat lalu.
Makanan dan minuman itu bagaimanapun berjaya diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan hasil kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran MySafe Food anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Hazahar Hashim berkata, jumlah berkenaan membabitkan peningkatan 24 peratus berbanding tahun lalu.
“Pada tahun lalu, sebanyak 4,547.10 kg makanan dan minuman dengan anggaran nilai sebanyak RM50,279.17 diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.
“Program serta kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran MySafe Food yang dilancarkan pada 14 Mac lalu bertujuan menasihatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak membazir dan mengumpulkan makanan yang tidak terjual diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan Bersama Jabatan, Agensi dan Masyarakat Setempat di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di sini.
Pada majlis itu, turut diadakan, pengagihan sebanyak 3,000 bekas makanan berisi lemang dan rendang kepada orang ramai di samping program Trash To Cash, Free Market serta Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dan Fabrik Terpakai Bandar Baru Nilai.
Hazahar dalam pada itu berkata, pada program itu, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak 200 kg minyak terpakai dengan nilai diperoleh sebanyak RM600. – UTUSAN






