KUANTAN: Isu pelupusan beras dan beberapa barangan dapur di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum di sini merupakan pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pada waktu barangan keperluan harian seperti beras tempatan kurang di pasaran ketika ini, isu terbabit tentunya membangkitkan rasa terkilan dalam kalangan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan.
Jika tidak rosak katanya, barangan terbabit tentunya dapat diagihkan dan memanfaatkan rakyat yang memerlukan bukan sahaja di kawasan Parlimen Kuala Krau malah di seluruh negeri dan negara.
“Saya berpandangan, apabila barangan itu dibeli melibatkan peruntukan peribadi seperti dinyatakan oleh bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, ia sepatutnya lebih mudah diuruskan simpanan dan pengagihan.
“Hak untuk mengurus dan menyimpan terletak pada kita sendiri kerana ia dibeli tidak melibatkan duit kerajaan. Untuk agih kepada siapa sekalipun, ia terletak kepada bekas Ahli Parlimen berkenaan.
“Jadi ia pastinya lebih mudah. Sepatutnya tidak timbul isu barangan rosak dan membazir sedemikian rupa jika ia sentiasa diperiksa ketika disimpan dalam stor dan kerana dibeli sendiri, tentunya kita tahu dan ada rekod berapa lama barangan terbabit boleh disimpan sebelum ia luput ataupun rosak,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular dalam laman media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.
Ekoran isu tular terbabit, Ismail memohon maaf dan menyatakan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu itu dan menyesali perkara yang berlaku.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau itu dilaporkan berkata, beras dan barangan dapur itu adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, sepatutnya selepas tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022 berakhir, barangan terbabit diagihkan kepada rakyat memerlukan.
“Tidak kiralah menang atau kalah, sepatutnya selepas PRU15 lalu, barangan seperti beras dan lain-lain barangan dapur seperti sardin, tepung gandum, bihun perlu segera diagihkan bagi mengelak ia rosak dan luput.
“Ia bukan melibatkan duit kerajaan dan perlu diaudit dan tunggu kebenaran. Ia hak bekas wakil rakyat terbabit. Sepatutnya walaupun kalah dalam pilihan raya, barangan itu diagihkan sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada golongan memerlukan.
“Bila dibuang begitu sahaja dalam jumlah yang agak banyak, ia merupakan pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku dan begitu menyedihkan,” katanya. – UTUSAN






