KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menyokong penuh usaha kerajaan Pahang membanteras penerokaan tanah haram membabitkan pekebun durian Musang King di Raub.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, masalah kebun durian haram sudah lama berlarutan dan tindakan tegas perlu dilakukan kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah penduduk setempat.
“PPNP menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini yang mengetepikan Permohonan Kebenaran Untuk Semakan Kehakiman difailkan 204 pekebun yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram di Raub.
“Kita berharap kerajaan Pahang dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan terus konsisten di atas ketegasan yang dilaksanakan sebelum ini.
“Berdasarkan keputusan mahkamah hari ini, terus ke depan, jangan berganjak ke belakang atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan termasuk oleh wakil rakyat dalam kerajaan Perpaduan pada ketika ini,” katanya di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak Permohonan Kebenaran Untuk Semakan Kehakiman yang difailkan 204 pekebun yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram di Raub.
Sebelum ini, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam Musang King di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau, seluas kira-kira 2,167 hektar.
Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos 2020 manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 September 2020 dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP sebagai responden.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, PPNP menggesa kerajaan negeri tidak tunduk sebarang desakan selepas Mahkamah Tinggi Kuantan sudah menolak permohonan 204 pekebun untuk mengetepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri, empat tahun lalu.
“Berdasarkan rekod, terdapat 4,400 hektar tanah yang diusahakan sebagai ladang durian di Raub adalah berstatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.
“Hal ini sudah tentu mendatangkan impak kerugian hasil tanah bernilai puluhan juta ringgit kepada negeri ini, justeru, PPNP menyokong supaya hasil ekonomi daripada industri durian dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak perlu takut dengan gesaan dan ugutan pihak tertentu walaupun rakan dalam kerajaan Perpaduan kerana isu pencerobohan tanah adalah tindakan yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.
“Penceroboh perlu dikenakan tindakan sewajarnya seperti mana dikenakan kepada pihak lain yang melakukan kesalahan sama. Kerajaan negeri perlu adil dalam menangani semua isu pencerobohan tanah berdasarkan undang-undang,” katanya.
Zuhairi dalam pada itu berkata, isu penerokaan kebun haram Musang King di Raub bukan baharu sebaliknya ia berpuluh tahun berlaku ekoran kurangnya tindakan penguatkuasaan dari pihak berkuasa.
“Kita difahamkan, penerokaan bermula sedikit demi sedikit sebelum kawasan diteroka menjadi luas. Jadi, ia sudah sebati dengan pekebun haram di sana. Jadi, biarpun sukar, namun penguatkuasaan perlu dilakukan kerana jika tidak dilakukan sekarang, sampai bila perkara ini hendak dibiarkan begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN






