KUANTAN: Semua pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Putra dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Persekutuan (FT421) diminta mematuhi had laju ditetapkan iaitu 60 kilometer sejam (km/j) ketika melalui jejambat berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Ir. Razali Kassim berkata, memandu secara lalu adalah dilarang di jejambat berkenaan.
“Saya tengok kereta masing-masing dipandu laju melebihi had ditetapkan sedangkan had kelajuan hanya 60 km/j.
“Jadi saya menyeru agar berhati-hatilah. Sayangi nyawa, sayangi keluarga, sayangi harta benda,” ujarnya di sini hari ini.
Pembinaan Jambatan Putra merupakan kesinambungan kepada projek pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan yang menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur.
Projek pembinaan jambatan berkenaan yang menelan kos bernilai RM47 juta itu dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara itu, Razali berkata, pembinaan Jambatan Putra dilihat berjaya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu puncak.
“Kebiasaanya laluan dari Bukit Setongkol menuju ke pusat bandar termasuk laluan dari pusat bandar je Tanah putih juga akan mengalami kesesakan ketika waktu puncak.
“Tapi selepas jambatan ini dibuka bermula hari ini kita tengok keadaan di laluan ini lancar. Alhamdulillah ia dapat menyelesaikan masalah (kesesakan),” katanya. – UTUSAN





