KUANTAN: Syarikat pengendali Bazar Ramadan KotaSAS, RJ7 Exito mengukir senyuman buat 48 pelajar asnaf Akademi Yasa-Muip apabila meraikan dan menyampaikan sumbangan dalam majlis berbuka puasa di kawasan lapang bersebelahan bazar tersebut di sini hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil daripada KotaSAS, Siti Nursyazwani Tam dan wakil peniaga bazar Ramadan KotaSAS, Rosilawati Morad mewakili RJ7 Exito.
Sebelum ini, hampir 100 orang pelajar di dua pusat tahfiz di daerah ini menerima sumbangan sempena Ramadan yang disampaikan syarikat pengendali bazar tersebut.
Pelajar terbabit dari Pusat Tahfiz Bukit Bayroute dan Pusat Tahfiz Bukit Goh di sini.
RJ7 dalam kenyataannya berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif syarikat tersebut menyantuni komuniti setempat sempena Ramadan.
“Ini merupakan cara kita berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan terutama pelajar tahfiz, pelajar asnaf pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Diharap sumbangan yang diberikan dapat memberi kegembiraan kepada mereka menyambut Ramadan dan membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya. – UTUSAN






