TEMERLOH: Semua pihak khususnya ahli dan pimpinan parti-parti politik diminta tidak mempolitikkan isu membabitkan pelupusan beras dan beberapa barangan dapur di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum di sini semalam.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, sejurus isu berkenaan tular di media sosial, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said tampil memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara terbabit.
“Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau juga menyatakan bahawa barangan tersebut dibeli menerusi peruntukan peribadinya, jadi, usahlah cuba mengelirukan dan mempolitikkan isu berkenaan.
“Ini tidak, bila timbul isu ini, ada pimpinan parti politik cuba mengeruhkan keadaan bagi membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan negeri,” katanya di sini.
Terdahulu, tular dalam laman media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.
Ekoran isu tular terbabit, Ismail memohon maaf dan menyesali perkara yang berlaku.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau itu dilaporkan berkata, beras dan barangan dapur itu adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi wakil rakyat.
Mengulas lanjut, Razak berkata, beliau mengakui perkara sedemikian tidak wajar berlaku khususnya membabitkan barangan keperluan utama rakyat seperti beras.
“Tapi dalam isu terbabit, beras-beras yang dibuang didapati rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.
“Jadi bila tidak selamat dimakan, adalah sewajarnya ia dibuang dan dilupuskan kerana tidak boleh diberikan kepada rakyat, ia sepatutnya dijadikan pengajaran supaya tidak terjadi lagi selepas ini.
“Lebih baik, simpanan beras dan barangan dapur tidak disimpan terlalu lama dan diserahkan segera kepada rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau sekali lagi meminta pimpinan parti-parti politik tidak mempolitikkan isu tersebut kononnya mahu menjadi hero atau juara di hati rakyat. – UTUSAN






