PETALING JAYA: Trend migrasi dari bandar ke luar bandar dijangka terus meningkat sehingga tiga peratus lagi tahun ini iaitu daripada 16.7 peratus pada 2022 kepada hampir 20 peratus berikutan kos sara hidup yang menekan di bandar-bandar.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, secara purata, pendapatan bulanan penghuni di bandar-bandar sekitar RM6,000, namun tidak cukup untuk menampung kos sara hidup dan komitmen pelbagai aspek.
Bagaimanapun, menurut beliau, di luar bandar pula pendapatan bulanan sekitar RM3,000 sudah memadai i untuk membina kehidupan harian selain sesebuah keluarga itu hidup lebi aman.
“Tidak dinafikan jurang pendapatan dan ketidakseimbangan ekonomi antara kota dan desa wujud, tetapi trend migrasi dari bandar ke luar bandar kini bertambah disebabkan kos sara hidup.
“Pada masa sama, faktor lain menarik minat orang kota berhijrah ke desa adalah disebabkan peruntukan besar kerajaan setiap kali belanjawan bagi pembangunan sosioekonomi, penambahbaikan infrastruktur, pemberian geran, modal perniagaan dan sebagainya.
“Pada 2022 hingga 2023 sahaja sebanyak RM11 bilion diperuntukan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan luar bandar dengan memberi tumpuan kepada sektor perlombongan, pertanian, perhutanan dan sebagainya. Ia menarik minat orang bandar untuk berhijrah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar migrasi dari bandar ke luar bandar tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan jumlah lebih tinggi berbanding peratusan penghijrahan dari luar bandar ke bandar.
Pada tahun 2018, kadar migrasi bandar ke luar bandar mencatatkan angka 19.5 peratus manakala perpindahan dari luar bandar ke bandar hanyalah 4.8 peratus.
Terbaharu, pada 2022, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar mencatatkan sebanyak 16.7 peratus manakala peratusan penghijrahan luar bandar ke bandar hanyalah merekodkan angka 2.4 peratus.
MIGRASI
Bashir Ahmad berkata, walaupun kadar migrasi bandar ke luar bandar tinggi, namun tidak dinafikan tumpuan peluang pekerjaan masih lagi tertumpu kepada kawasan bandar seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Menurutnya, ia disebabkan pelbagai faktor antaranya kemudahan infrastruktur seperti pengangkutan awam, lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan dan akses jalur lebar yang baik menarik minat pelabur melakukan aktiviti perniagaan di kawasan tersebut sekali gus membuka ruang ekonomi lebih besar.
“Selain itu, dasar dan polisi sesebuah negeri juga memainkan peranan penting. Sebagai contoh di Selangor, mereka mengamalkan dasar perindustrian sejak dahulu. Lembah Klang pula banyak menekankan soal teknologi komunikasi maklumat (ICT).
“Johor pula berjiran dengan Singapura yang memberikan mekanisme ekonomi sangat kuat ditambah dengan hubungan baik mereka menjadi nilai tambah kepada kecemerlangan ekonomi negeri itu.
“Pada masa sama, Johor dan Pulau Pinang juga memiliki pelabuhan utama di dunia yang menyaksikan banyak aktiviti transaksi perniagaan di kawasan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Bashir Ahmad berkata, walaupun peluang pekerjaan tinggi di negeri-negeri maju seperti di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, namun kos sara hidup di kawasan tersebut agak tinggi disebabkan segala akses terhadap kemudahan disediakan.
“Jadi, saya berpandangan isu kos sara hidup ini sedikit sebanyak mengimbangi pendapatan diterima oleh orang bandar dan luar bandar dengan cara hidup masing-masing,” katanya. – UTUSAN






