KUANTAN: Seorang pekerja kedai makan Warong Mazenah di sini tidak menyangka memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gambang, Said Syazwan Said Rosnizam, 18, melihat keputusan itu secara dalam talian ketika berada di hostel disediakan majikannya sebelum masuk kerja pada pukul 11.30 pagi.
Menurutnya, ia merupakan berita gembira buat ibunya, Shahiza Nijat, 45, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Gambang di sini.
Tambahnya, dengan keputusan cemerlang itu, dia berharap dapat melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Saya begitu minat matematik dan memang sejak kecil lagi saya sentiasa memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran matematik. Disebabkan itu juga saya berhasrat menjadi seorang guru Matematik atau paling tinggi pun mahu menjadi pensyarah apabila tamat pengajian nanti,” katanya di sini hari ini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, meskipun gembira, namun dia sedikit sedih mengenangkan arwah ayahnya, Said Rosnizam Said Rahamat yang meninggal dunia dua tahun lalu kerana tidak sempat melihat kejayaanya.
“Arwah ayah banyak mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Agak sedih bila mengenangkan ayah tidak sempat melihat kejayaan saya hari ini,” katanya yang menetap di Perumahan Makmur, Gambang.
Bercerita tentang kerjaya sebagai pelayan di Warong Mazenah, Said Syazwan berkata, dia mula bekerja di situ sejak kira-kira dua bulan lalu selepas tamat peperiksaan SPM.
“Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya dan merasakan jika saya tidak berbuat apa-apa, saya hanya menambahkan beban perbelanjaan di rumah.
“Jadi saya ambil keputusan untuk bekerja sementara menunggu masuk universiti. Duit yang diperoleh sedikit sebanyak saya akan guna untuk tampung perbelanjaan pengajian saya nanti,” katanya memberitahu majikan dan rakan sekerja turut teruja dengan keputusan yang diperolehnya itu. – UTUSAN






