PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan kaedah mekanisme subsidi bersasar dilaksanakan dengan teliti supaya mencapai objektif sebenar dan tidak membebankan rakyat.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, subsidi bersasar ini perlu dilakukan secara berperingkat supaya tidak berlaku ‘teori domino’ di mana golongan B40 akan menanggung beban jika golongan M40 dan T20 terjejas.
“Kita baru sahaja terima pelarasan tarif air dan elektrik. Rakyat harap penyasaran subsidi diesel tidak berlaku secara serentak kerana golongan M40 serta T20 sudah rasa gelombangnya.
“Penyasaran subsidi ini kita risau jika kos harga bahan mentah akan naik dan ada peniaga yang ambil kesempatan terhadap keperluan asas ini,” katanya.
Menurut Yusrizal, penguatkuasaan perlu tegas dalam hal ini supaya keadaan seperti dahulu tidak berulang di mana apabila harga minyak meningkat, harga barang yang lain juga naik.
Katanya, syarikat-syarikat besar pula dipantau bagi membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Sementara itu, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, pelaksanaan subsidi bersasar ini perlu dipantau dari segi kawalan harga barang dan kadar inflasi semasa.
“Jika kadar inflasi tidak melebihi daripada dua peratus, pelaksanaan subsidi bersasar itu tidak memberikan kesan kepada kos sara hidup kerana kadar inflasi tersebut tidak terlalu tinggi tetapi perlu dilakukan dengan betul.
“Jika berlaku sebaliknya, kemungkinan kos lain juga meningkat kerana diesel dan juga petrol, dua perkara ini merupakan ‘ibu’ kepada faktor-faktor kos lain,” ujarnya.
Sementara itu, Anggota Sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, penyasaran subsidi diesel pasti akan memberi kesan besar kepada sektor logistik jika tidak dilakukan dengan betul, seterusnya kesan rantaian kepada pengguna.
Menurut beliau, kos bahan api adalah sebahagian besar daripada jumlah perbelanjaan logistik, kenaikan harga diesel secara langsung akan menyebabkan kos pengangkutan lebih tinggi.
“Ini boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan, kerana barangan menjadi lebih mahal untuk berpindah daripada pengeluar kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Tarmizi turut menyarankan supaya pihak kerajaan mempertimbangkan dengan wajar pelaksanaan fasa penghapusan subsidi secara berperingkat dan telus. – UTUSAN






