IPOH: Wanita yang maut ditikam suami di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah kelmarin, pernah membuat laporan polis kerana diugut lelaki itu termasuk bunuh.
Abang mangsa, Shahiran Shaharun, 34, berkata, adiknya, Nisya Shahkila, 32, kini dalam proses penceraian selepas lebih setahun digantung tidak bertali oleh suaminya.
Katanya, dalam tempoh itu, anak kedua daripada enam beradik itu hidup ketakutan apabila sering diugut melalui pesanan dan mesej suara di WhatsApp.
“Nisya mahu berpisah kerana suaminya kaki pukul. Dia tidak tahan kerana bukan dia sahaja, malah anak lelakinya (dari perkahwinan pertama) berusia sembilan tahun turut jadi mangsa.
“Apabila dia ambil keputusan untuk berpisah, suaminya ugut macam-macam sampaikan Nisya pernah suarakan kebimbangan iaitu takut akan mati dibunuh suami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Menurutnya, adiknya itu ada beberapa kali membuat laporan polis termasuk terakhir sekitar Mei lalu yang membawa kepada tangkapan suaminya di Klang, Selangor.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga difahamkan yang lelaki itu dibebaskan selepas dua hari ditahan reman ekoran tidak mempunyai bukti yang mencukupi.
“Kami tidak berapa rapat dengan suami arwah kerana dia tidak bergaul sangat dengan keluarga. Mereka berkahwin pada tahun 2022 dan adik berpindah ke Kedah mengikut suaminya.
“Bagaimanapun, hubungan mereka tidak lama kerana adik mengadu sering dipukul hingga mengambil keputusan untuk berpisah dan berpindah tinggal dengan keluarga pada tahun sama di Batu Gajah,” katanya.
Menurut Shahiran, pada hari kejadian (Khamis), adiknya dan suami sepatutnya hadir ke Mahkamah Syariah bagi prosiding permohonan cerai secara fasakh.
Katanya, adiknya itu bersikap berani berjumpa suaminya mungkin kerana beranggapan yang lelaki itu mahu menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara baik.
“Arwah ada beritahu emak yang dia mahu berjumpa suami dan emak pada mulanya melarang kerana bimbang, tapi adik yakinkan emak bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.
“Adik juga mungkin menyangka ini peluang untuk dia selesaikan masalah tersebut kerana proses penceraian mereka telah tertunda beberapa kali kerana lelaki itu tidak pernah hadir ke mahkamah,” ujarnya.
Shahiran berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah namun mengakui berasa terkilan dengan cara wanita itu diperlakukan hingga menemui ajal.
“Kami baru kehilangan ayah pada awal tahun lalu dan kini kehilangan seorang lagi ahli keluarga. Nisya seorang anak yang baik dan sekarang pun dia banyak berubah ke arah kebaikan.
Sementera itu, Mahkamah Majistret Batu Gajah semalam mengeluarkan perintah reman tujuh hari ke atas suspek bermula semalam.
Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin. – UTUSAN





