KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu terus komited dalam membangunkan tahap kesiagaan peralatan dan juga modal insan agar seiring keperluan kuasa udara pada masa kini.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, usaha tersebut perlu dilakukan supaya selari dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2025.
Titah baginda, dalam era teknologi yang pesat berkembang ketika ini, adalah penting TUDM terus meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Perkembangan teknologi dan ancaman baharu dunia hari ini menuntut kita untuk sentiasa berinovasi dan memperkukuhkan keupayaan pertahanan.
“Beta yakin dan percaya, dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu semua pihak, TUDM akan terus maju dan berjaya dalam mengharungi 1001 cabaran mendatang,” titah baginda sempena Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-66 di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa kini, parameter tanggungjawab TUDM bukan sahaja tertumpu kepada pertahanan ruang udara malah merupakan tulang belakang dalam usaha sama mengukuhkan benteng di zon maritim serta daratan kedua-dua teater operasi Semenanjung dan Malaysia Timur.
“Pada hemat beta, pasukan yang sentiasa terbang tinggi di angkasa raya ini bukan sahaja sebuah angkatan udara tetapi juga simbol keberanian, integriti dan dedikasi.
“Oleh itu, teruslah terbang membawa panji-panji keamanan demi kedaulatan tanah air supaya terus terpasak teguh di bumi bertuah ini,” titah baginda.
Sultan Pahang turut menyeru semua pihak terus bersatu padu dan bekerjasama dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara.
“Semua pihak bersama-sama memelihara dan mempertahankan nikmat keamanan yang dikecapi sehingga hari ini..Ingatlah.. kita kongsi udara yang sama, langit biru yang sama dan tanah yang sama.
“Yakinlah..hanya dengan perpaduan yang utuh dan kerjasama yang jitu, kita dapat mempertahankan kedaulatan negara ini. Janganlah mudah bertindak melulu dan sentiasa rasional dalam membuat tindakan,” titah baginda. – UTUSAN






