KUANTAN: “Setelah ambulans berpusing beberapa kali dan berhenti saya terkejut apabila melihat tiada seorang pun daripada empat penumpang di bahagian belakang kerana semuanya tercampak keluar”.
Demikian kata pemandu ambulans Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Abdullah Ali Abdul Rahman, 58, apabila ambulans dipandunya terbabit kemalangan di kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Bentong, kira-kira pukul 12.05 tengah hari semalam.
Menurut Abdullah, biarpun badannya berasa sakit disebabkan terhempas beberapa kali namun dia hanya memikirkan nasib pesakit Orang Asli yang terdiri daripada ibu dan tiga anak itu.
“Ketika kejadian saya dalam perjalanan membawa pulang pesakit Orang Asli yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dihantar ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Bukit Serok, Rompin.
“Sewaktu melalui satu selekoh, kenderaan yang saya pandu bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menyebabkan ambulans berpusing beberapa kali menyebabkan kesemua empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan,” katanya.
Beliau yang bertugas sebagai pemandu ambulans Jakoa Pahang sejak 28 tahun lalu menyifatkan kemalangan berkenaan adalah yang paling teruk dialaminya.
“Apabila lihat kembali video yang tular itu saya seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana kenderaan terbabit berpusing beberapa kali dan rosak teruk.
“Alhamdulillah Allah SWT masih memanjangkan usia saya selain tidak mengalami kecederaan yang serius. Mangsa lain juga cedera ringan kecuali seorang kanak-kanak yang tercampak,” katanya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia turut menerima rawatan susulan di Hospital Pekan dan tidak mengalami kecederaan serius, hanya sedikit bengkak di bahagian badan. – UTUSAN






