KUANTAN: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.
Tertuduh yang berusia 48 tahun itu membuat pengakuan terbabit selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit dengan memaksa anak tirinya seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun memegang kemaluannya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Julai lalu sekitar pukul 7 petang di rumahnya yang terletak di Kampung Chengal Lempung, Sungai Karang, di sini.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebatan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Selain itu, tertuduh berdepan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan hukuman sebatan tidak kurang dua kali sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 22 Ogos depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN






