TANGGAL 21 Julai 2005 masih segar dalam ingatan Juliah Mohd. Din, 61, apabila rumah tradisional seni bina Bugis milik keluarganya menjadi tempat persinggahan istirahat bagi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang ketika itu bergelar Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Lebih membanggakan keluarganya, Sultan Ibrahim dan ahli keluarga baginda berkenan bermalam di rumah tersebut yang berusia 80 tahun.
Walau bagaimanapun, Permaisuri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyambut kepulangan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim (Tunku Mahkota Johor) selepas menamatkan latihan ketenteraan di India.

Juliah yang ketika itu berusia 42 tahun berkata, Sultan Ibrahim bersama rombonganya tiba pada pukul 7 malam dengan disambut oleh ahli keluarganya dan penduduk Kampung Permatang Duku, Benut.
“Saya dan keluarga seperti bermimpi Tunku Mahkota Johor (Yang di-Pertuan Agong) hendak bermalam di rumah kami, namun tiga minggu sebelum KMJ bermula kakitangan Pejabat Daerah Pontian dan Seketeriat KMJ telah datang ke rumah.
“Walaupun beberapa rumah turut dicadangkan kepada Pejabat Daerah Pontian, mereka memilih rumah keluarga saya tempat Tuanku bermalam,” katanya kepada Nexbyte.
Dia dimaklumkan, telah menjadi tradisi program KMJ ketika itu bahawa Sultan Ibrahim akan menyelitkan acara untuk bermalam di rumah rakyat terutamanya di kawasan perkampungan tradisional.
“Saya telah mewakilkan kepada adik ipar, Abd. Jalil Sulaiman, 66, sebagai jurucakap keluarga sepanjang kunjungan dari awal sehingga Tuanku berangkat pulang,” katanya.
Pada malam tersebut, baginda telah merasmikan Masjid Kampung Belahan Tampok, Rengit serta menyertai sukan rakyat di Taman Rekreasi Tampok pada waktu petang.
Sebagai kaum Bugis, dia turut menyediakan beberapa jenis makanan tradisi seperti burasak, lepat lui dan gulai metti (masak asam pedas ikan parang) untuk santapan malam Tuanku dan anakanda baginda.
“Tuanku juga menunjukkan kebolehan memasak dan kami sekeluarga turut sama-sama menikmati makanan yang dimasak itu dengan gembira dan teruja,” katanya.
Juliah kini mewarisi rumah peninggalan ayahnya, Allahyarham Mohd. Din Kurikang dan Allahyarhamah ibunya, Jani Matukuang yang mempunyai 10 orang anak termasuk dirinya.
“Rumah ini juga pernah meraih tempat kedua bagi Anugerah Kampung Terbaik Program K3P (Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca ) anjuran Kementerian Penerangan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan (5) Mukim Benut, Mohd. Asri Abas berkata, pemilihan rumah tradisional itu sebagai tempat penginapan Sultan Ibrahim akan kekal menjadi kebanggaan kira-kira 2,000 penduduk Kampung Permatang Duku.
Sebagai tanda memperingati peristiwa bersejarah itu, setiap tahun JPKK akan mengadakan acara mengibarkan bendera di rumah tersebut sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Katanya, rumah itu juga menjadi salah satu destinasi lawatan orang ramai yang datang ke kampung berkenaan bagi melihat gambar-gambar semasa kunjungan dan penginapan Sultan Ibrahim.
“Tentunya kami penduduk kampung bersyukur dan berbangga dengan perlantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong kerana pernah mencemar duli melawat kampung ini.
“Ini kerana hanya rumah tradisional Bugis di kampung kami menjadi satu-satunya tempat persinggahan dan bermalam di daerah Pontian sejak KMJ dilancarkan pada tahun 2001 hingga sekarang,” jelasnya. – UTUSAN






