NIBONG TEBAL: Tiada lagi gelaran penagih dadah jika pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang bakal dibentangkan di Parlimen sebelum 18 Julai ini mendapat sokongan majoriti.
Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penagih atau penyalahgunaan dadah itu akan diklasifikasikan sebagai pesakit selepas pindaan diluluskan.
“Kami (Kementerian Dalam Negeri atau KDN) telah menyelesaikan semua aturan untuk pindaan itu. Cadangan pindaan tersebut sebenarnya melibatkan proses libat urus yang lama dengan semua pemegang taruh dan semua agensi di bawah kementerian (KDN).
“Kemudian, kita bentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum diberikan kelulusan. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan kelulusan.
“Jadi, kami juga mendaftarkan di Parlimen untuk mengambil giliran dalam pembentangan. Kalau tidak ada apa-apa aral melintang dan bergantung kepada berapa banyak rang undang-undang (yang dibentang), kami berharap sebelum 18 Julai ini pembentangan pindaan ini dapat dibuat,” katanya.
Saifuddin berkata demikian selepas Program XPRESI GenTa (GENERASI KITA) Bersama Menteri Dalam Negeri: Solidariti Bebas Dadah di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap di sini, malam semalam
Beliau berkata, setakat ini tidak wujud birokrasi dalam proses untuk meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana banyak pihak setuju untuk istilah penagih dadah dinyahjenayahkan dan dikatogerikan sebagai pesakit.
“Jika pindaan akta tersebut lulus maka proses berkaitan ketagihan dadah dijangka menjadi lebih pantas selain mendorong lebih ramai individu (terlibat dengan penyalahgunaan dadah) secara sukarela memilih untuk datang sebagai pesakit,” kata beliau.
Kata beliau, ini kerana kes-kes penyalahgunaan dadah selepas ini tidak lagi dilihat sebagai elemen jenayah.
“Sebab itu, saya gunakan istilah ‘decriminalization’ (dinyahjenayahkan). Lagipun, mereka ini bukannya berada dalam kategori yang parah,” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, pindaan tersebut juga secara tidak langsung bakal mengangkat kedudukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam bidang itu.
Beliau berkata, ini kerana melalui pindaan itu, mereka yang datang secara sukarela ke pusat pemulihan untuk rawatan, akan dirujuk terus kepada pegawai pemulihan AADK yang kemudian melakukan pemeriksaan ujian air kencing dan seterusnya mengesahkan sama ada mereka memerlukan rawatan ataupun tidak.
“Berbanding sebelum ini, undang-undang menghendaki AADK untuk menghantar mereka (penagih) kepada pegawai perubatan yang dianggap mempunyai kepakaran dan legitimasi untuk membuat pemeriksaan ujian air kencing dan seterusnya mengesahkan mereka ini benar memerlukan (rawatan).
“Saya kira ini satu anjakan besar yang telah dilakukan. Cadangan-cadangan ini, daripada pengalaman ADDK sendiri.
“Saya hanya memerlukan majoriti mudah untuk ia diluluskan dalam Dewan Rakyat, seperti yang berlaku apabila pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diluluskan baru-baru ini dengan 93 Ahli Parlimen menyokong dan 63 lagi menentang,” kata beliau.- UTUSAN






