KUANTAN: Seorang bekas majistret yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, dua tahun lalu atas kesalahan meminta dan menerima rasuah mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mengenepikan kesemua pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, 43, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta atas enam pertuduhan menerima dan meminta rasuah daripada seorang peniaga, lima tahun lau.
Tertuduh yang diwakili peguam RSN Rayer mengemukakan rayuan terbabit dihadapan Hakim, Datuk Mohd. Radzi Harun.
Rayer dalam hujahnya memohon agar hakim mempertimbngkan rayuan untuk melepaskan dan membebaskan anak guamnya daripada ke semua pertuduhan dihadapinya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Rifah Izzati Abdul Mutalif.
Hakim kemudiannya menetapkan 27 November untuk keputusan rayuan.
Terdahulu, Mohamad Amin yang pernah berkhidmat sebagai majistret di Raub dan Lipis dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah oleh Mahkamah Sesyen pada 18 Mac dua tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh menjalani semua hukuman penjara secara serentak iaitu 12 tahun bermula tarikh sabitan.
Namun, tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan selama 72 bulan jika gagal membayar denda yang telah ditetapkan mahkamah.
Tertuduh sebelum ini didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh. – UTUSAN






