TAMPIN: Penggunaan dron untuk tujuan pengintipan dan serangan antara yang menjadi tumpuan dan dipertontonkan dalam Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2024 di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.
Dron model DJI Matrice 30 Series seberat 3.77 kilogram itu menjadi aset penting bagi meningkatkan keberkesanan tembakan tidak langsung dengan bantuan aset udara serta integrasi operasi darat dengan sokongan udara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sementara itu berkata, selain menampilkan aset-aset dan keupayaan tempur dimiliki pasukan Tentera Darat, LKT yang saban tahun diadakan itu juga bertujuan sebagai petunjuk untuk pihak kementerian menambah baik aset ketenteraan sedia ada.
“Ia juga bertujuan membangunkan kompetensi anggota lebih-lebih lagi apabila latihan melibatkan banyak negara kerana kita boleh belajar strategi dan kemajuan teknologi. Jadi ia memang menjadi latihan yang perlu untuk menguji aset sesuai untuk keperluan negara, lain negara lain keperluan asetnya.
“Selain itu ia sebagai pendedahan dan petunjuk kepada kementerian untuk penambahbaikan dan kemajuan kepada aset ketenteraan, sekali gus memastikan keselamatan dan pertahanan negara berada pada tahap terbaik.
“Dari sini kita boleh kaji penambahbaikan yang perlu dibuat, latihan yang perlu ditambah dan kompetensi selain aset ketenteraan lain yang dirasakan perlu untuk negara, contohnya dron tadi, berapa lama bertahan untuk terbang, mesti lebih dua jam dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2024 di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Latihan Kuasa Tembakan merupakan latihan medan secara bersama ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara lain membabitkan manuver kenderaan tempur, aplikasi sistem persenjataan, penggunaan dron serta rancangan tembakan aset artileri dan mortar dengan bantuan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Fasa latihan sempena LKT 2024 telah bermula pada 4 hingga 12 Ogos bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) siri 53/2024 dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) kepada kuasa tembakan.
Seramai 180 orang pegawai tentera terlibat dan terdiri dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia termasuk 36 pegawai tentera dari luar negara yang sedang mengikuti kursus di MTAT.-UTUSAN.





