KUANTAN: Seorang lelaki berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan berat anggaran lebih 111 kilogram (kg), awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd. Nasir Hassan, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri didakwa mengedar dadah berbahaya kanabis dengan anggaran berat kasar 111,663.51 gram pada 1 Ogos lalu kira-kira pukul 9.45 pagi di tepi jalan berhampiran kedai makan medan Selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 39B(2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Dalam masa sama, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan menggunakan dadah berbahaya iaitu Methamphetamine.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 1 Ogos lalu sekitar pukul 12.15 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini.
Bagi kesalahan itu, jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM5,000, atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan terhadap tertuduh kerana disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 .
Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 November ini bagi pertuduhan pertama dan 16 Oktober pertuduhan kedua.
Terdahulu media melaporkan, polis Pahang berjaya merampas lebih 111kg dedaun kering kehijauan disyaki ganja bernilai RM359,600 di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular di sini.
Rampasan pada 1 Ogos lalu terbabit merupakan yang terbesar direkodkan bagi negeri ini pada tahun ini. – UTUSAN





