TANAH MERAH: Sebuah keluarga di Lorong Nimar 500, Taman Mas di sini menerima sumbangan kewangan daripada Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) bagi meringankan beban dihadapi susulan kejadian kebakaran di kediaman mereka pukul 11.50 pagi semalam.
Sumbangan diserahkan oleh Sekretariat Majlis Sukarelawan Bencana Negara Peka Kelantan, Kapten (K) Muhammad Hafizi Mohd. Zanani.
Muhammad Hafizi berkata, sumbangan itu sebahagian tanggungjawab Peka membantu keluarga ditimpa musibah sekali gus meringankan beban dialami mereka.
“Walaupun nilainya tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban dan boleh memberi semangat baharu kepada mereka.
“Peka turut mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit kerana kejadian itu mengorbankan seorang ahli keluarga mereka yang ditemukan rentung,” katanya di sini hari ini.

Semalam, seorang pemuda ditemukan rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumahnya dalam kejadian di Lorong Nimar 500, Taman Mas di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Mohammad Nur Syahid Faridzuan Mohd. Syukri, 27, meninggal dunia selepas dipercayai tidak sempat turun dan keluar rumah berikutan api marak di tingkat bawah.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Zulkifli Osman dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.59 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizi berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat khususnya di negeri ini tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit.
Katanya, penglibatan golongan itu mampu membantu mengatasi beban yang terpaksa ditanggung keluarga berkenaan. – UTUSAN






