TEMERLOH: Lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada 1970 diilhamkan daripada sumpah dan amanat pahlawan Pahang, Mat Kilau.
Perkara itu diceritakan oleh Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said.
Aripin berkata, Mat Kilau telah menyampaikan amanatnya kepada beliau sewaktu menziarahinya di Masjid Pulau Tawar, Batu 5, Jalan Kuantan, Jerantut pada 26 Disember 1969.
“Mat Kilau telah bersumpah dan beramanat agar rakyat taat kepada Tuhan, taat setia kepada Raja, sayang bangsa (hidup berperaturan berlandaskan undang-undang), sayang negara, jujur dan ikhlas.
“Sumpah, wasiat dan semangat Mat Kilau adalah jelas supaya rakyat menjaga agama, bangsa, tanah air dengan harapan jangan sampai bangsa hilang negara.
“Kelima-lima unsur dan prinsip ini menjadi inspirasi kepada Tan Sri Ghazali Shafie pada 1970 untuk menggubal Rukun Negara,” katanya kepada Nexbyte di sini.
Katanya, Ghazali ketika itu merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas di bawah Kabinet Tun Abdul Razak telah diminta menggubal Rukun Negara selepas tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Menurutnya, prinsip-prinsip terkandung dalam Rukun Negara jelas kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum yang membentuk kejayaan dan kestabilan negara.
Bagaimanapun, beliau kecewa apabila generasi muda dilihat semakin luntur dalam menghayati lima prinsip Rukun Negara yang menjadi teras kepada kemajuan, keamanan, persefahaman dan kedamaian negara. – UTUSAN






