KLUANG: Pernah mencari rezeki dengan menjual kuih di pasar malam ketika usia muda menjadikan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sangat memahami kesukaran peniaga yang terpaksa berdepan dengan pasang surut hasil jualan.
Syed Hussien Syed Abdullah berkata, pengalaman itu membuatkannya tidak melupakan nasib para peniaga pasar malam yang perlu berjuang tujuh hari seminggu dengan mengharapkan jualan habis dibeli pelanggan.
Katanya, berniaga di pasar malam tidak dijanjikan dengan kedatangan orang ramai pada setiap hari, malah ada ketikanya tidak mendapat pulangan seperti diharapkan.
“Saya dulu menolong ibu berniaga kuih dan ini membuatkan saya lebih dekat dengan peniaga pasar malam.
“Turun ke pasar malam agak menarik kerana jika sebelum ini hanya datang sebagai pelanggan atau Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK), namun kini turun sebagai calon PRK,” katanya kepada Nexbyte semasa melakukan tinjauan mesra di Pasar Malam Bukit Ayam, di sini.
Ditanya tentang perjalanan kempennya, Syed Hussien berkata, setakat ini semuanya lancar dengan menerima sokongan memberangsangkan daripada pengundi yang ditemuinya.
“Kami saling kenal antara satu sama lain sama ada pengundi muda mahupun lebih berusia daripada saya. Ini kerana kehidupan masyarakat di Kluang ini adalah berkonsepkan kekeluargaan yang terisi dengan sikap saling menghormati dan penuh kasih sayang,” katanya. – UTUSAN






